Lailer, satu watak yang cukup ikonik sementelah drama Kampung People pernah mencetuskan fenomena tersendiri pada satu ketika. Tidak hairan sehingga sekarang, watak-watak dalam drama itu masih menjadi sebutan..
Menurut Utusan Malaysia, salah seorang pelakon, Riena Diana masih terasa tempiasnya. Sehinggakan satu ketika, dia seolah-olah ‘tidak dibenarkan’ untuk membawa watak berbeza selain karakter gila-gila dan komedi.
Mahu mencabar diri, aktres berusia 26 tahun ini sedar tidak selamanya dia boleh bergantung dengan populariti dan kekuatan watak Lailer. Dia harus berpijak di bumi nyata, sementelah lakonan bukan berputar dari satu sudut sahaja.
Jawablah mendapatkan Lailer kesayangan ramai ini, adakah dia berani mengubah genre lakonannya? Sudahkah dia bersedia dengan persepsi dan penerimaan peminat yang sudah sebati dengan watak tersebut. Lailer, Jawablah!
Susah sebenarnyakan untuk Riena ‘membuang’ Lailer dalam persepsi dan penerimaan peminat kan? Seakan sudah sebati. Kalau nampak Riena sahaja, mesti Lailer akan disebut walaupun sudah bertahun drama itu ke udara.
Jujurnya, ya. Orang masih panggil Lailer. Ke mana pergi, nama itu yang disebut. Mungkin ada yang tak tahu nama saya Riena Diana. Dari satu sudut, itu satu kejayaan. Bukan senang hendak diingati kerana watak.
Tetapi dari sudut berbeza, itu seakan ‘menghalang’ diri saya untuk mencuba sesuatu yang berbeza. Bukan orang lain, tetapi diri saya sendiri. Sebab itu saya pernah selesa dengan naskhah komedi semata-mata.
Maksud halangan itu? Ada pihak yang mungkin merasakan Riena tak mampu menjayakan karakter berat atau serius? Tawaran tertakluk kepada genre komedi semata-mata?
Sebenarnya, diri saya sendiri yang bina tembok itu. Kadang-kadang, saya sendiri sangsi dengan kemampuan diri. Boleh ke aku bawa watak seberat itu? Adakah aku mampu capai jangkaan pengarah, penerbit dan penonton?
Itu antara persoalan yang sering berlegar. Bukan tidak ada tawaran naskhah berat tetapi kadang-kadang saya sendiri yang cakap belum bersedia. Cuma tahun ini saya kena berani, tak boleh takut lagi.
Sebab itu saya terima watak Farah Mokhtar dalam Wanita Syurga. Watak yang sangat berbeza daripada Lailer. Sudahlah penyondol, jahat pula itu. Sekarang pun isu penyondol ibarat pisang goreng panas kan!
Apa yang meyakinkan Riena untuk terima watak itu? Pastinya ada kesangsian dalam diri sebelum bersetuju kan? Atau Riena rasa, sampai bila boleh berharap kepada naskhah komedi semata-mata?
Itu antara sebab saya terima watak Farah Mokhtar ini. Saya perlu keluar zon selesa. Kena beranikan diri. Kena tunjuk saya adalah seorang pelakon yang boleh mewarnakan watak sesuai permintaan pengarah dan penerbit.
Pernah juga terfikir, sampai bila nak bawa waak disayangi sahaja kan? Sekali sekala nak cuba watak antagonis. Bila dapat, ada pula rasa sangsi. Cuma saya banyak tonton drama lain sebagai rujukan untuk bina watak Farah Mokhtar itu.
Saya tak mahu watak antagonis yang merentan, meroyan menjerit-jerit. Saya jadikan watak tersebut ada kelas tetapi boleh bikin hati penonton panas dengan ‘kejahatan’ dan cara dia menggoda suami orang.
Jadi kita boleh cakap, Riena bersedialah untuk dikecam, dimaki? Sementelah, istilah penyondol memang hangat diperkatakan. Ada pelakon takut hendak bawa watak rampas-merampas ini.
Kalau kena kecam, marah maksudnya watak tersebut menjadi lah kan? Kira saya berjayalah menghidupkan watak penyondol itu. Saya kena bersedia dari segi mental dan fizikal juga. Kena lihat semua itu dari perspektif berbeza.
Kecaman, makian kalau bukan salah kita sendiri saya fikir satu penerimaan yang baik. Lagipun peminat drama sekarang sudah boleh beza watak realiti dan rekaan kan. Lagipun saya bukan tak pernah kena kecam kan? Jadi tegarlah hati.
Bercakap pasal penyondol, pernahkah Riena mengalami situasi itu? Adakah Riena gunakan perasaan itu untuk watak tersebut?
Pernah! Tetapi saya wanita yang teraniaya. Cuma ketika itu jiwa muda, memang mengamuklah. Namun bila sudah dewasa dan matang, kita sedar bahawa jodoh semua adalah ketentuan Illahi.
Saya cuma jaga jodoh orang sahajalah. Eh cerita pasal pengalaman diri pula. Watak itu saya tak ada marah-marah, Farah ini nak jaga kelas dia. Jadi tenang tetapi dalam masa sama, diam-diam ubi berisi.