Wang melakukan pemeriksaan telinga selepas menyedari mengalami masalah pendengaran.
BEIJING: Seorang wanita muda di China yang tidur sambil memakai fon kepala untuk mendengar muzik setiap malam selama dua tahun, dilaporkan hilang pendengarannya.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, Wang dari Shandong kini terpaksa memakai alat bantuan pendengaran untuk mengatasi masalah yang dihadapinya.
Wang yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah firma tempatan, baru-baru ini ke hospital untuk melakukan pemeriksaan telinga selepas menyedari mengalami masalah pendengaran.
Seringkali apabila penyelianya berbisik kepadanya semasa mesyuarat, Wang menghadapi masalah untuk memahami kata-kata penyelia itu dan dia bimbang ini akan menyebabkan masalah di tempat kerja.
Pemeriksaan menyeluruh mendapati Wang mengalami kerosakan pendengaran saraf kekal di telinga kirinya yang menyebabkannya mengalami masalah pendengaran itu.
Ketika ditanya sama ada pernah mengalami sebarang trauma atau jika telinganya mengalami bunyi kuat untuk tempoh lama, Wang berkata, satu-satunya perkara yang dia boleh fikirkan adalah mendengar muzik melalui fon kepalanya pada setiap malam.
“Semasa belajar di kolej, saya suka tidur sambil mendengar muzik dengan memakai fon kepala sepanjang malam.
“Ia sudah menjadi tabiat dan saya melakukan ini selama kira-kira dua tahun,” kata Wang kepada doktor yang merawatnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Otolaryngology di hospital itu, Li Tao berkata, masalah kehilangan pendengaran Wang berkemungkinan besar disebabkan muzik yang dia dengar setiap malam.
Walaupun volum muzik tidak berlebihan, telinga wanita itu mengalami bunyi bising untuk jangka masa yang lama dan akhirnya menyebabkan kerosakan pendengaran kekal.
Bagaimanapun, Wang bernasib baik kerana hanya telinga kirinya yang terjejas disebabkan bunyi yang berterusan.
Masalah itu cukup ringan sehingga kehilangan fungsi pendengaran yang boleh diatasi dengan memakai alat bantuan pendengaran.


































