Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendidikan tidak wajar mengesampingkan disiplin, akhlak dan adab, waima pendidikan agama sekalipun.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, pendidikan bukan sekadar menimba ilmu dan keratan ayat-ayat tanpa pencerahan, kesedaran dan amalan.
Lantaran itu, katanya, semua tenaga pengajar dan ibu bapa perlu menekan kaedah itu, dan tidak bersubahat melindungi gejala penderaan pelajar di mana-mana institusi pendidikan.
“Untuk sekolah, maahad, institut, kolej dan universiti, beri lah penekanan menjaga disiplin dan adab serta bertegas menghindari kecurangan dari berakar sejak di pusat pengajian lagi,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Anwar yang kini berada di Berlin, Jerman berpeluang menjalani ibadah puasa dan bersahur pada pukul 4 pagi seterusnya solat Subuh pada pukul 4.35 pagi dan menganjurkan kepada perwakilan memenuhi waktu dengan membaca al-Quran beserta tafsirnya sekali.
Sementara menunggu acara pada waktu pagi, beliau memberitahu, berkesempatan meneliti pesanan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga serta urusan kerja dengan rakan Jemaah Menteri.
“Namun, terdapat beberapa mesej dari rakan Indonesia terkait kisah yang menyayat hati yakni penderaan anak santri di pesantren (pondok) Jawa Timur.
“Terngiang dalam ingatan liputan negara sejak dulu – kisah penderaan pelajar termasuk pengalaman saya tatkala menjadi Menteri Pendidikan yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur.
“Malah, paling tragis dan menggemparkan adalah kematian mahasiswa di Universiti Pertahanan,” katanya.
Beliau pada masa sama menganjurkan semua umat Islam untuk menjadikan awal Ramadan kesempatan untuk bermunajat dan meningkatkan amal serta tercapai darjat takwa serta berusaha sesungguhnya menggapai nikmat madrasah Ramadan.

































