Tangkap layar pelanggan wanita menumbuk muka seorang pekerja di kaunter pembayaran sebuah premis perniagaan di pusat beli-belah ternama di Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Berang terpaksa menunggu lama bagi membatalkan pembelian satu barang, seorang pelanggan wanita bertindak menumbuk muka juruwang di sebuah premis perniagaan di sebuah pusat beli-belah ternama di bandar raya ini, Sabtu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang berusia 25 tahun itu tampil membuat laporan di Balai Polis Majidee pukul 6.32 petang pada hari kejadian.
Pengadu mendakwa mengalami kecederaan dan bengkak di bahagian bawah mata kiri akibat ditumbuk oleh suspek.
“Kita telah menerima satu video tular dalam media sosial Facebook oleh penama ‘Zuriani Mahmood’ memaparkan kejadian pekerja wanita ditumbuk oleh seorang pelanggan wanita di kawasan kaunter premis perniagaan. Punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana terpaksa menunggu masa yang agak lama bagi membatalkan pembelian satu barang yang telah dibeli,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Video tular itu memaparkan kejadian perselisihan faham melibatkan dua orang wanita pada pukul 3.17 petang dan suspek dilihat telah memukul muka sebelah kiri mangsa sebelum meninggalkan kaunter premis tersebut.
Sebelum itu mangsa meminta pelanggan terbabit menunggu kerana pembelian itu sudah masuk ke dalam sistem, namun suspek itu dengan tiba-tiba memarahinya dalam nada tinggi dan bertindak menumbuk mukanya sehingga mengakibatkan bengkak selepas pembayaran dibuat.
“Repot dah dibuat, tunggu tindakan dari polis je. Maruah aku tercalar ya sebagai seorang ‘cashier’ bila ‘cust’ (pelanggan) buat macam ini depan ramai orang. Sedangkan itu salah sendiri.
“Kalau setakat gaduh mulut, boleh terima lagi. Tapi kau siapa untuk naik tangan dekat muka aku!!! Aku sertakan gambar dan ‘cctv cust’. Aku tak tahu apa salah aku sedangkan aku dah terangkan, tapi kau tetiba melenting. Aku memang takkan maafkan orang macam ini ya! Aku tengah mengandung, kau sentuh-sentuh aku. Aku takkan tarik report ya, aku sumpah kau,” tulisnya.
Mengulas lanjut, Raub berkata, suspek juga disahkan telah membuat laporan polis di Balai Polis Majidee pada pukul 9.14 malam tadi untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323.

































