Pemain Harimau Malaya menjalani latihan pada hari pertama mereka melaporkan diri di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, kelmarin menjelang saingan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 26 Mac ini.
PETALING JAYA: Tanpa berselindung, pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon mengakui kecewa melihat keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang bakal menjadi gelanggang untuk perlawanan keempat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ 2027 Piala Asia menentang Oman pada 26 Mac.
Menurut Utusan Malaysia, Pan Gon menjelaskan perkara itu selepas dia melihat sendiri keadaan padang Khamis lalu dan menyifatkan ia tidaklah sempurna seperti diharapkan.
Bagaimanapun, perunding yang dilantik Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan bahawa padang akan berada dalam keadaan terbaik dalam tempoh dua minggu akan datang sekali gus memberi kelegaan kepada Pan Gon.
“Kakitangan teknikal di stadium itu berkata mereka yakin bahawa padang itu akan berada dalam keadaan baik, menjelang 26 Mac.
“Saya amat kecewa (ketika melihat keadaan padang), tetapi beliau (kakitangan teknikal) beritahu kepada kami yang pasukan kami tidak akan bermain esok,” katanya ketika ditemui media pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan Sabtu.
Terdahulu, SNBJ sekali lagi menjadi venue konsert berskala mega baru-baru ini membabitkan artis antarabangsa Ed Sheeren dan perkara itu menimbulkan kebimbangan tentang kesediaan padang yang sebelum ini ‘teruk’ ekoran konsert Coldplay tahun lalu ketika aksi final Piala Malaysia musim lalu.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan perlawanan menentang Oman pada 26 Mac ini tetap berlangsung di stadium keramat Harimau Malaya itu walaupun terdapat desas-desus mengatakan akan bertukar venue jika keadaan padang tidak memuaskan.
Harimau Malaya yang menerajui Kumpulan D akan menentang pasukan ke-80 dunia Oman, di Stadium Pusat Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 21 Mac, sebelum pulang untuk perlawanan keempat di Bukit Jalil, lima hari kemudian.
Selepas dua perlawanan itu, Malaysia yang menghuni ranking ke-132 dunia akan bertemu Kyrgyzstan (6 Jun) di tempat lawan dan kembali ke Malaysia untuk bertemu Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.
Malaysia berpeluang besar untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan sekali lagi layak secara merit ke Piala Asia 2027 buat kali kedua berturut-turut, dengan ketika ini mendahului carta Kumpulan D dengan kelebihan tiga mata lebih dari Oman.
Anak buah Pan Gon mencatatkan dua kemenangan menentang Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) tahun lepas untuk mendahului carta kumpulan, manakala Oman di tempat kedua berkongsi mata dengan Kyrgyzstan, manakala Taiwan berada di tempat terakhir tanpa sebarang mata.


































