PETALING JAYA: Awas kepada pempengaruh yang gemar bersiaran langsung di TikTok untuk menunjukkan kemewahan kerana anda mungkin akan menjadi sasaran penjenayah kes pecah rumah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, susulan kejadian tersebut, polis menahan empat suspek terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 36 tahun pada 6 Mac lalu.
“Hasil siasatan terhadap laporan seorang pempengaruh di Rawang, pada awal bulan ini, pasukannya berjaya mengesan suspek dan menahan mereka di kawasan Johor Bahru ketika cuba menjual jongkong emas.
“Polis turut merampas pelbagai barangan berharga termasuk beg tangan berjenama yang disyaki dilarikan dari rumah pempengaruh tersebut,” katanya di sini.
Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati kumpulan sama turut terbabit kes pecah masuk rumah ahli perniagaan di Padang Balang, Sentul bersangkut kes Wangsa Maju pada 4 Mac lalu.
Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Noor Ariffin berkata, suspek-suspek akan diserahkan kepada Polis Daerah Wangsa Maju sebaik tamat reman untuk siasatan kes di daerah Gombak.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dan tiga wanita yang terbabit dalam kes pecah rumah ahli perniagaan dan pempengaruh wanita menyebabkan kerugian RM3.5 juta di Padang Balang, Sentul, ditahan polis.


































