Usaha mencari dan menyelamat membabitkan sebuah helikopter yang terhempas kira-kira 5 batu nautika berhampiran perairan Pulau Angsa di Kuala Selangor, Selangor, hari ini.
KLANG: Seramai empat orang termasuk penumpang dan juruterbang dilaporkan selamat dalam tragedi sebuah helikopter terhempas kira-kira 5 batu nautika berhampiran Pulau Angsa, Kuala Selangor, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, difahamkan helikopter tersebut adalah model AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang membuat pemantauan sebelum terhempas di perairan berkenaan, pagi ini.
Pasukan keselamatan termasuk Polis Marin dilaporkan bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima laporan insiden tersebut.
Maritim Malaysia ketika dihubungi memberitahu akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.


































