Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Malaysia dijangka memperhalusi kerjasama di bawah kerangka kerjasama komprehensif strategik bersama Australia menerusi lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara tersebut, bermula esok.
Ia termasuk sektor perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digital dan keselamatan siber.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke Australia atas jemputan rakan sejawatnya, Anthony Albanese.
Katanya, kenyataan bersama pemimpin akan diterbitkan selepas mesyuarat tahunan antara pemimpin Malaysia-Australia kali kedua (ALM) dan kedua-dua pemimpin tersebut juga dijadual menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU).
“Ia melibatkan MoU mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan penyelidikan serta MoU mengenai kerjasama dalam bidang belia dan sukan.
“(Selain itu), MoU berkaitan kerjasama dalam keselamatan siber dan kerjasama praktikal antara kerajaan Malaysia dan Australia dalam bidang sains dan teknologi serta aplikasinya untuk pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT),” katanya.
Perdana Menteri akan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan lain.
Dalam lawatan sulung Anwar itu, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke ALM yang dihoskan oleh Australia pada 4 Mac ini di Melbourne dan turut menyertai Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia pada 5 dan 6 Mac ini.
Wisma Putra berkata, sidang kemuncak khas tersebut merupakan penanda aras yang penting dalam hubungan ASEAN-Australia susulan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia pada tahun 2021.
“ASEAN dan Australia akan menilai status kerjasama sedia ada serta membincangkan pemerkasaan kerjasama dalam pelbagai bidang, antaranya peralihan tenaga, pembangunan modal insan, integrasi ekonomi, kesalinghubungan serta kerjasama maritim.
“Para pemimpin Negara Anggota ASEAN dan Australia juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Sidang Kemuncak Khas tersebut dijadual memperaku Kenyataan Visi Pemimpin ASEAN-Australia dan Deklarasi Melbourne sebagai dokumen panduan untuk terus memajukan hala tuju strategik kerjasama ASEAN-Australia,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar dijadual merasmikan Kompleks Sukan Al-Taqwa, mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat dengan kapten-kapten industri tempatan dan mengadakan sesi pertemuan dengan pelabur-pelabur yang berpotensi.
Selain itu, Ahli Parlimen Tambun itu bakal mengadakan sesi wawancara dengan organisasi media antarabangsa dan menyampaikan ucaptama di Invest ASEAN Melbourne 2024.
“Perdana Menteri juga akan menghoskan Majlis Makan Malam bersama diaspora Malaysia di Melbourne.
“Semasa lawatan rasmi tersebut, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas David Hurley AC DSC (Bersara), Gabenor Jeneral Australia dan menyampaikan syarahan umum di Australia National University (ANU), Canberra,” katanya.






























