Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kiri) menyampaikan mock cek Anugerah Penjara Negeri Cemerlang Tahun 2023 pada Majlis Sambutan Hari Penjara ke-234 di Kompleks Penjara Puncak Borneo, Kuching, Sarawak.
KUCHING: Kerajaan secara prinsip bersetuju memulakan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah kepada banduan yang menjalani hukuman empat tahun dan ke bawah sebagai usaha mengurangkan kesesakan penjara.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pihaknya sedang meneliti semula peruntukan undang-undang dan proses yang terlibat apabila ia dilaksanakan kelak.
Katanya, program tahanan di rumah akan menyumbang kepada pengurangan kesesakan dan penjimatan perbelanjaan di penjara.
“Maksudnya kalau yang disabit kesalahan itu adalah warga emas atau OKU (orang kurang upaya) atau yang mengandung, keadaan mereka itu adalah lebih manusiawi kita letakkan mereka di luar, bukan dalam tembok.
“Untuk itu, kita boleh pasangkan peranti pemantauan elektronik untuk laksanakan tahanan di rumah.
“Saya tugaskan ketua setiausaha kementerian untuk buat semakan dan beri maklum balas, perkara ini mesti disegerakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-234 Kompleks Penjara Puncak Borneo, di sini, semalam.
Saifuddin berkata, penghuni penjara yang terlibat bagi program tahanan di rumah terdiri individu berpenyakit kronik, warga emas, OKU dan ibu mengandung.
Selain itu katanya, pihak penjara melaksanakan sistem parol, perintah kehadiran wajib serta program pembebasan berlesen.
Katanya, program itu yang dijalankan sebelum ini memberi hasil cemerlang dengan statistik menunjukkan daripada 800 yang dibebaskan hanya seorang dimasukkan semula ke penjara.






























