KUALA LUMPUR: Aset pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak RM1,135.82 bilion, naik 13 peratus berbanding RM1,002.67 bilion pada 2022.
Peningkatan itu merangkumi pendapatan yang dijana daripada portfolio dan jumlah caruman diterima pada 2023 berjumlah RM97.56 bilion, naik 15 peratus berbanding RM84.78 bilion pada 2022.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir berkata, KWSP berupaya memberikan hasil dividen yang lebih baik berikutan prestasi berdaya tahan pada 2023, dengan ekuiti memainkan peranan penting dalam memacu prestasi keseluruhan.
Beliau berkata, walaupun berhadapan dengan ketegangan geopolitik, peningkatan kadar faedah, inflasi, konflik rantau, serta masalah sektor hartanah China, ekonomi global tetap berdaya tahan dan memberikan prestasi di luar jangkaan.
“Ini memberikan pelabur institusi seperti KWSP untuk menguruskan kepelbagaian portfolionya secara aktif dan merebut peluang untuk meningkatkan pulangan.
“Selepas mengambil kira kadar inflasi, dividen sebenar bagi Simpanan Konvensional ialah 2.89 peratus dan 2.51 peratus untuk Simpanan Shariah pada asas tiga tahun (2021-2023), melebihi sasaran strategik KWSP iaitu sekurang-kurangnya 2 peratus dividen sebenar dalam tempoh yang sama.
“Sebagai dana persaraan, adalah penting bagi KWSP untuk memberikan pulangan jangka panjang melebihi inflasi secara konsisten bagi memelihara dan meningkatkan nilai simpanan ahli,” kata beliau dalam kenyataan.






























