KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengekalkan prestasi kukuh dengan mengumumkan agihan dividen 2023 sebanyak 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus bagi Simpanan Shariah.
Agihan dividen itu lebih tinggi berbanding 2022 sebanyak 5.35 untuk Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus bagi Simpanan Shariah.
Menurut Utusan Malaysia, KWSP memaklumkan, ia melibatkat jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM7.48 bilion bagi Simpanan Shariah.
“Jumlah agihan pendapatan untuk tahun 2023 sebanyak RM57.81 bilion,” katanya dalam kenyataan.
KWSP berkata, untuk tahun berakhir 31 Disember 2023, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion, meningkat 29 peratus berbanding RM51.91 bilion pada 2022.
“Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun tersebut.
“Daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan, RM5.72 bilion dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen. Adalah menjadi amalan berhemat KWSP membayar dividen hanya daripada pendapatan yang direalisasikan,” katanya.






























