PETALING JAYA: Pakar yakin ekonomi negara akan mencatatkan pertumbuhan lebih baik tahun ini dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka akan tumbuh pada kadar 4.5 hinga 5.5 peratus.
Menurut Utusan Malaysia, rata-rata pakar ekonomi berpandangan, jangkaan tersebut didorong oleh pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan, pekilangan seperti elektrikal dan elektronik (E&E).
Jangkaan itu selari dengan kenyataan agensi penafaran RAM Rating Services Bhd. (RAM Ratings) baru-baru ini yang mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia pada 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, selain itu faktor domestik, China dijangka akan menyuntik lebih banyak fiskal ke dalam ekonomi negara itu tahun ini yang akan turut memberi impak kepada aktiviti ekonomi.
Katanya, langkah itu akan meningkatkan permintaan terhadap barangan Malaysia, mengambil kira China merupakan rakan dagang utama negara.
“Selain itu, ekonomi Amerika Syarikat (AS) masih lagi mengembang, dan ia juga akan meningkatkan permintaan terhadap barangan Malaysia.
“KDNK AS meningkat kepada 2.5 peratus pada 2023 berbanding 1.9 peratus 2022. Adalah dijangkakan KDNK AS kekal positif tahun ini, kesinambungan dari pertumbuhan tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, RAM Ratings berkata, ia percaya terdapat peningkatan ke atas bagi ekonomi pada 2024, walaupun prestasi suku keempat 2023 meningkat pada 3.0 peratus.
Agensi itu berkata, ekonomi global mungkin tumbuh secara sederhana, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meningkatkan unjuran pertumbuhan global 2024 sebanyak 0.2 mata peratusan kepada 3.1 peratus bulan lepas.
Mengulas itu sama, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, unjuran RAM Ratings adalah berdasarkan keyakinan kepada ramalan IMF bahawa pertumbuhan ekonomi global pulih daripada 0.4 peratus pada 2023 kepada 3.3 peratus tahun ini.
“Walaupun pelaburan yang diluluskan masih belum dilaksanakan, tetapi ia sedikit sebanyak memberi gambaran positif tentang persepsi pelabur terhadap potensi pelaburan di Malaysia untuk jangka masa panjang,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, unjuran KDNK pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus boleh terbantut sekiranya ekonomi global masih belum pulih sepenuhnya.































