Anis Amira Rosidi (empat dari kiri) menerima insentif disampaikan kerajaan negeri pada Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis 2023 dan Pelancaran Road To Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024 di Dewan Warisan, Kangar, Perlis semalam.
KANGAR: Atlet berbasikal kebangsaan, Anis Amira Rosidi akan memberi penumpuan dan fokus bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2024 di Denmark pada Oktober depan.
Menurut Utusan Malaysia, buat masa ini, atlet berusia 26 tahun itu sedang fokus kepada pemulihan kecederaan otot dialaminya sewaktu Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India, pada 25 Februari lalu.
Menurut Anis, dia juga hanya menjalani latihan ringan sahaja di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan bagi mengelakkan kecederaan dialaminya itu bertambah serius.
“Setakat ini, saya hanya jalani latihan ringan sahaja dan ketiadaan kejohanan yang besar pada waktu terdekat ini memberi peluang kepada pemulihan kecederaan otot saya.
“Doktor kata pemulihan ini mungkin mengambil masa selama sebulan namun Alhamdulilah, ia sudah semakin baik dan saya tidak sabar untuk meneruskan latihan menuju ke kejohanan dunia nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Atlet Perlis 2023 dan Pelancaran Road To Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024 di Dewan Warisan di sini semalam.
Anis sebelum ini mencipta sensasi apabila berjaya meraih pingat gangsa dalam acara keirin wanita elit dan perak bagi acara pecut berpasukan wanita sewaktu Kejohanan ACC yang berakhir pada 25 Februari lalu.
Bagi Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2024 nanti, Anis dijangka bertanding dalam tiga acara iaitu keirin wanita, pecut wanita individu dan berpasukan.
Terdahulu, gadis tinggi lampai yang berasal dari Kangar itu menerima insentif tambahan sebanyak RM4,000 daripada kerajaan negeri sebagai menghargai kejayaannya meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan wanita semasa temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 lalu.
Dalam pada itu, Anis berkata, sebelum menyertai kejohanan ACC di India tersebut, dia sememangnya tidak begitu yakin mampu mempamerkan prestasi cemerlang biarpun ototnya sudah menunjukkan pemulihan positif ketika itu.
“Namun setelah berbincang dengan jurulatih (John Beasley), saya pun tetap sertainya juga.
“Malah, dalam penyertaan itu juga, saya tidaklah sasarkan untuk memenangi sebarang pingat namun terus mencuba sehabis baik dan akhirnya dapat juga pulang dengan perak dan gangsa,” katanya.
































