Paul Yong Choo Kiong
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi mengekalkan sabitan salah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Paul Yong Choo Kiong atas tuduhan merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu.
Menurur Utusan Malaysia, keputusan itu dibuat dengan majoriti 2-1 yang mana Hakim Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel hakim dan Hakim Datuk Azman Abdullah menyokong manakala Hakim Datuk S. M. Komathy menentang terhadap keputusan tersebut.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun, bermula dari tarikh hukuman dijatuhi iaitu pada 27 Julai 2022. Hukuman sebat dua kali kekal.
Ketika membaca penghakiman majoriti, Hakim Datuk Azman Abdullah menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar dan memutuskan kes berkenaan tidak terkhilaf apabila menyatakan keterangan saksi pendakwaan ke-15 yang juga mangsa rogol adalah kredibel dan boleh dipercayai.
“Hakim bicara mempunyai kelebihan apabila melihat kelakuan mangsa ketika memberi keterangan dan oleh itu membuat dapatan yang kredibel,”katanya.
Sementara itu, Hakim Komathy dalam membaca penghakiman minoriti menyatakan, hak perayu (Choo Kiong) telah diprejudiskan apabila hakim bicara mengguna pakai pakai Seksyen 265 Kanun Tatacara Jenayah bagi melindungi identiti mangsa.
“Terdapat percanggahan dalam keterangan mangsa yang pada mulanya mengadu mengenai gangguan seksual kepada Kedutaan Indonesia sebelum menimbulkan dakwaan dirogol beberapa jam kemudian iaitu ketika membuat laporan polis,”kata hakim itu.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Paul Yong, 53, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed dalam keputusannya, berkata mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pembelaan Yong bahawa insiden rogol itu tidak berlaku, tidak boleh dipercayai, hanya penafian dan merupakan sesuatu yang difikirkan kemudian.































