KUALA LUMPUR: Polis menahan sembilan individu termasuk tiga wanita yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan panggilan telefon dengan menyamar sebagai pegawai insurans dalam serbuan di Selangor dan ibu negara, Selasa lalu.
Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 42 tahun dipercayai berperanan sebagai pemilik akaun keldai dan pemilik syarikat keldai yang digunakan dalam kegiatan penipuan didalangi sindiket ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, melalui penahanan ahli sindiket ini, pihaknya percaya sebanyak 61 kes membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM28.92 juta berjaya diselesaikan.
Katanya, penahanan mereka melalui satu laporan daripada mangsa membabitkan seorang persara sektor perbankan wanita berusia 70 tahun yang dilaporkan berlaku pada 2022 membabitkan nilai kerugian RM3.83 juta.
“Pada sekitar November 2022, pengadu menerima panggilan mendakwa daripada pihak insurans dan terdapat tuntutan insurans dibuat menggunakan nama pengadu.
“Pengadu menafikan kewujudan tuntutan insurans tersebut. Panggilan kemudiannya disambungkan kepada pihak lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan pengubahan wang haram (AMLA).
“Pengadu kemudian diarahkan membuka akaun bank baharu dan memindahkan kesemua wang pengadu ke akaun bank yang baru dibuka,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Ramli, mangsa diarahkan menyerahkan maklumat akaun bank dan perbankan dalam talian akaun terbabit kepada pihak sindiket.
“Pengadu juga tidak dibenarkan mengemaskini atau mengakses akaun banknya selama beberapa bulan atas alasan siasatan sedang dijalankan.
“Pada September 2023, pengadu membuat semakan akaunnya dan mendapati sejumlah RM3,839,000 telah dipindahkan keluar dari akaun tersebut dan hanya berbaki RM78,” katanya.
Ramli berkata, pihaknya turut merampas 11 telefon bimbit, sembilan kad pengeluaran wang automatik (ATM) serta wang tunai berjumlah RM377.
“Siasatan awal mendapati pemilik akaun keldai yang ditahan ini menerima bayaran antara RM300 hingga RM400 untuk sindiket menggunakan akaun bank mereka.
“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, seorang akauntan kerugian RM5.04 juta selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan matawang kripto yang kononnya berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Ramli berkata, mangsa mula melakukan pelaburan selepas berurusan dengan seorang lelaki pada Ogos 2023.
Jelasnya, suspek menawarkan mangsa yang juga seorang lelaki berusia 55 tahun untuk membuat satu pelaburan di AS yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Mangsa diyakinkan untuk membuat pelaburan mata wang kripto dan bermula Ogos 2023 hingga Januari 2024, mangsa telah membuat pindahan sebanyak 143 kali ke beberapa dompet mata wang kripto dengan jumlah keseluruhan RM5.04 juta.
“Mangsa berasa ditipu apabila tidak lagi dapat berhubung dengan individu yang menguruskan pelaburannya, sebelum tampil membuat satu laporan polis pada 7 Februari lalu,” katanya.
Ujarnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
































