KUALA LUMPUR : Jumlah kerugian melibatkan kes jenayah komersial bagi minggu keenam tahun ini mencatatkan nilai kerugian kira-kira RM558.6 juta berbanding RM181.6 juta, minggu sama pada tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes penipuan komersial mencatatkan peningkatan sebanyak 34.3 peratus membabitkan 4,741 kes setakat 11 Februari.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 3,530 kes dan nilai kerugian RM181.6 juta.
“Sejak 1 Januari hingga 11 Februari lalu, sejumlah 2,065 kertas siasatan berjaya dituduh bersamaan 49 peratus daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ramli turut mengingatkan orang ramai terutama warga emas agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan ditawarkan di media sosial.
Jelasnya, tidak dapat dinafikan kemajuan teknologi masa kini banyak memberi manfaat namun kemudahan itu sering kali disalah guna penjenayah bagi mencari mangsa khususnya golongan warga emas yang kurang cakna dengan isu semasa.
“Orang awam diminta untuk tidak melayan sebarang tawaran pelaburan atau panggilan telefon yang menawarkan keuntungan yang tidak masuk akal.
“Jangan angkat panggilan melainkan panggilan daripada pihak bank yang (anda) pernah berurusan ataupun daripada rujukan yang disahkan.
“Jika mereka (agensi) berkenaan mahu berurusan dengan kita biar merkea hantar notis, tidak perlu ‘pegawai’ mereka menghubungi kita,” tegasnya.
Ramli berkata, orang ramai diingatkan lebih berhati-hati ketika menekan pautan dalam talian walaupun daripada orang yang dikenali bagi mengelak menjadi mangsa perisian intip atau spyware bagi memancing data atau phishing.
“Jangan klik apa-apa pautan walaupun jemputan perkahwinan sekalipun, walaupun daripada orang yang kita kenal kerana banyak kes phishing dan sebagainya.
“Biarlah mereka hubungi kita secara terus, walaupun teknologi semakin canggih tetapi kecanggihan itu boleh bawa kerugian,” katanya.
Walaupun peringatan itu mungkin dianggap keterlaluan, namun katanya, mencegah lebih baik daripada mengubati.
Ujar beliau, pendekatan untuk tidak berinteraksi langsung apabila menerima panggilan tidak dikenali atau pautan meragukan lebih baik daripada kerugian harta dan wang ringgit.
“Trend peningkatan kes dan nilai kerugian yang direkodkan merupakan satu cabaran kepada JSJK sendiri. Usahawan perlu dilipat ganda untuk membanteras kegiatan jenayah komersial habis-habisan.
“Selain itu, penglibatan setiap lapisan masyarakat amat penting untuk memainkan peranan masing-masing khususnya dalam usaha pencegahan jenayah ini,” katanya.
































