Anwar Ibrahim
BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri berkata, kerajaan dijangka memuktamadkan harga beras yang boleh dikawal mulai minggu hadapan.
Menurut Utusan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, perkara itu sepatutnya diumumkan lebih awal, namun, disebabkan ada beberapa hal lain yang lebih mendesak, maka, ia terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu buat masa ini.
“Tak boleh rendah sangat, tapi, saya yakin boleh dikurangkan (harga beras) kalau kita teliti boleh (dapat) daripada mana, kontraktor itu bagi kepada siapa, untung berapa banyak dan sebagainya. Kalau rugi, tak ada orang nak berniaga (beras).
“(Untung) boleh tapi jangan tinggi sangat. Kalau untung tinggi sangat, harga di pasaran jadi dah tinggi. Jadi, kalau untung tinggi sangat, kita kata kurang sikit. Kita tengok pemasaran dia lagu (macam) mana. Kalau semua ini kita boleh buat dan ini yang pegawai-pegawai kita tekun untuk jalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena kunjungannya ke Program Jualan Termurah Madani di Lembah Makanan, Bandar Perda di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tambun itu tiba kira-kira pukul 8.15 pagi sebelum disambut oleh ribuan penduduk setempat yang setia menunggu di situ seawal 7 pagi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan berhasrat menjadikan Program Jualan Termurah Madani sebagai salah satu daripada program di bawah kendalian kerajaan sepenuhnya selepas ini.
Beliau berkata, ia susulan penerimaan baik rakyat negara ini terhadap program tersebut yang diadakan bertujuan mengurangkan beban mereka khususnya dalam menangani kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini.
“Saya ucap terima kasih kepada sahabat saya, Syed Hussin (Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal). Daripada Program Jualan Rahmah dan sebagainya, inisiatif beliau nampaknya telah bertapak di banyak kawasan Parlimen lain, daerah-daerah dan sebagainya.
“Jadi, saya minta beliau untuk bersama dalam Naccol (Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup) untuk kemukakan cadangan beliau supaya kerajaan boleh ambil tindakan bersama termasuk berkaitan Beras Madani.
“Saya juga dah beritahu Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) untuk bincang kalau boleh jadikan ini (Jualan Termurah Madani) sebagai program kerajaan setelah diteliti oleh semua jabatan dan agensi kerajaan terutamanya di bawah Kementerian Pertanian (dan Keterjaminan Makanan) serta KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).
“Jadikan ini sebagai satu keputusan penuh. Sekarang ia masih di peringkat Jawatankuasa Naccol dan kita akan laksanakannya,” ujar beliau.
































