Kylian Mbappe dilaporkan meletakkan tiga syarat kepada Real untuk menyertai Los Blancos, termasuk yuran perpindahan 105 juta pound (RM630.05 juta).
PARIS: Gergasi Sepanyol, Real Madrid perlu memenuhi tiga impian besar, Kylian Mbappe sebelum boleh melihat kapten Perancis itu beraksi di Santiago Bernabeu.
Menurut Utusan Malaysia, Mbappe dilaporkan meletakkan tiga syarat kepada Real untuk dia menyertai Los Blancos, termasuk yuran perpindahan sebanyak 105 juta pound (RM630.05 juta).
Sebelum ini, bintang Paris Saint-Germain (PSG) dan Perancis itu dilaporkan bersetuju menyertai juara Real yang juga juara Eropah 14 kali selepas berakhir musim ini.
Bagaimanapun rundingan untuk merealisasikan perpindahan pemain 25 tahun itu ke Madrid masih berlarutan dengan Mbappe meletakkan tiga syarat utama.
Mbappe menuntut gaji sebanyak 43 juta pound (RM258.02 juta) setahun, iaitu paras atau tangga gaji yang melebihi gaji pemain-pemain bintang sedia ada di Real.
Real kendalian Carlo Ancelotti mampu melonjak kembali gergasi Sepanyol itu di pentas Eropah sekiranya Mbappe bersama mereka.
Real beranggapan mereka mampu berjimat dengan menanti kontrak Mbappe di Parc des Princes tamat sebelum menandatanganinya, namun syarat diletakkan pemain itu bakal menelan belanja besar.
Mbappe juga dilaporkan mahu mengekalkan peratus hak imej yang biasa dikongsi sama rata antara kelab dan pemain.
Biasanya kelab akan mengambil 50 peratus daripada hak imej pemain bintangnya, namun Real dikatakan bersetuju untuk mengambil hanya 40 peratus manakala selebihnya milik Mbappe.


































