Razarudin Husain
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana Pegawai Penyelia yang didapati gagal dalam penyeliaan seperti termaktub dalam Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sekali lagi mengulangi serta memberi peringatan kepada dirinya dan para penyelia di semua peringkat untuk bertanggungjawab dalam mengawal selia para pegawai serta anggota masing-masing dari semua sudut.
Kata beliau, integriti kekal sebagai keutamaan yang perlu menjadi budaya seluruh warga Pasukan.
“Kita perlu menjiwai, menghayati dan membudayakan nilai integriti dalam setiap aspek penugasan.
“Integriti yang utuh dan tata kelola yang baik akan menjadi benteng kepada kita daripada terjebak melakukan kemungkaran, sekali gus dapat mengecilkan serta menutup segala ruang dan peluang melakukan rasuah atau salah laku,” katanya.
Penegasan itu dibuat ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan anjuran Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, sejak kebelakangan ini, timbul beberapa isu pelanggaran tatatertib melibatkan warga Pasukan yang telah mencalarkan nama baik PDRM.
Antaranya adalah seorang pegawai kanan polis ditahan kerana terlibat dalam kes bunuh secara langgar dengan kereta pelajar Tingkatan Lima di Perak; seorang ketua balai disiasat kerana melakukan kekerasan terhadap seorang lelaki di Johor.
Kata beliau, ada juga kes melibatkan dua anggota ditahan kerana terlibat dalam kes samun, rogol pelajar perempuan warganegara asing dalam kereta peronda (MPV) di Selangor selain lima anggota ditahan kerana terlibat dalam kes pemerasan terhadap seorang pekerja kilang di Pulau Pinang.
Baru-baru ini juga, terdapat penemuan wang tunai berjumlah RM3,753 yang dimiliki seorang warga PDRM ketika menjalankan tugas di Selangor selain dua warga pasukan ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes samun di Terengganu.
“Apa yang jelas, kejadian-kejadian ini sememangnya menconteng arang ke muka PDRM dan telah merosakkan reputasi serta mengurangkan kepercayan masyarakat terhadap PDRM.
“Sebagai warga PDRM yang memegang amanah, tindakan tegas perlu diambil oleh segenap lapisan untuk mengelak insiden-insiden sedemikian daripada berulang,” jelasnya.
































