Pengunjung melihat simulasi anak AI pertama di dunia ketika menghadiri pameran teknologi di Beijing.
BEIJING: Sekumpulan saintis China mencipta anak kecerdasan buatan (AI) pertama di dunia, entiti yang memaparkan tingkah laku serta keupayaan serupa dengan kanak-kanak manusia berusia tiga atau empat tahun.
Dinamakan Tong Tong atau ‘Gadis Kecil’, anak AI pertama di dunia dianggap sebagai langkah besar ke arah memajukan teknologi kecerdasan buatan am (AGI).
Dilancarkan di Pameran Teknologi Kepintaran Buatan Umum Frontiers, model AI yang inovatif itu didakwa mampu melakukan pembelajaran autonomi dan memaparkan tahap penglibatan emosi yang belum pernah dilihat dalam pembangunan AI sehingga kini.
Menurut Utusan Malaysia, penciptanya di Beijing Institute for General Artificial Intelligence (BIGAI) memaklumkan, Tong Tong terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuannya melalui interaksi dengan manusia dan penerokaan.
“Tong Tong akan sentiasa berusaha memahami perkara asas yang diajar oleh manusia dan bertindak balas dengan sewajarnya kepada keadaan emosi orang lain.
“Dia mampu membezakan perkara yang betul dan salah, menyatakan sikapnya dalam pelbagai situasi dan mempunyai kuasa untuk membentuk masa depan.
“Untuk maju ke arah AGI, kita mesti mencipta entiti yang boleh memahami dunia sebenar dan memiliki pelbagai kemahiran,” kata Pengarah BIGAI, Zhu Songchun.
Ketika pameran berlangsung, ramai pelawat berinteraksi dengan Tong Tong dan memerhati tingkah lakunya berdasarkan pengaturcaraannya.
Apabila diprogramkan untuk memilih persekitarannya yang kemas, avatar maya itu dilihat membetulkan foto senget di dinding, malah membawa bangku untuk dipanjat bagi mencapai bingkai yang terlalu tinggi.
Jika seseorang menumpahkan susu semasa program simulasi tersebut, Tong Tong akan segera membawa kain buruk untuk membersihkannya.