Perlumbaan Formula satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berakhir pada 2018.
PETALING JAYA: Petronas mengesahkan tiada sebarang perbincangan diadakan untuk membawa kembali Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Menurut Utusan Malaysia, syarikat minyak dan gas Malaysia memaklumkan perkara itu susulan laporan media mengenai potensi untuk membawa kembali penganjuran acara sukan permotoran berprestij itu pada 2026.
“Petronas merujuk kepada laporan media yang disiarkan pada 31 Januari 2024 berkenaan penganjuran semula F1 di Sepang Malaysia pada 2026.
“Kami ingin mengesahkan bahawa tiada perbincangan mengenai membawa kembali sukan itu ke Litar Antarabangsa Sepang,” kata Petronas dalam satu kenyataan.
Perlumbaan berprestij F1 diadakan di SIC setiap tahun dari 1999 sehingga kerajaan memutuskan untuk menamatkan kontrak penganjuran bermula pada 2018.
Kerajaan pada ketika itu mengambil keputusan berkenaan selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk penurunan pulangan yang ketara dan peningkatan kos penganjuran sejak 1999.
Bagaimanapun, sehingga kini SIC masih menjadi sebutan peminat F1 sekali gus mewujudkan spekulasi berterusan tentang potensi litar itu untuk kembali ke kejohanan tersebut.


































