Penguat kuasa JKN melakukan pemeriksaan di sebuah restoran mamak di Jalan Hang Tuah, Melaka.
MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengarahkan sebuah restoran mamak di Jalan Hang Tuah di sini, ditutup selama 14 hari susulan video tular seorang pekerjanya membuang air kecil di longkang berhampiran premis.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Dorothy Dayang Henry Sum berkata, ia susulan pemeriksaan dilakukan di restoran itu semalam mendapati, premis berkenaan beroperasi dalam keadaan terlalu kotor.
Ujarnya, empat notis kompaun berjumlah RM1,500 termasuk dua notis di bawah Peraturan 33 berkaitan kebersihan diri pekerja turut dikeluarkan JKN Melaka.
“Premis berkenaan tidak mencapai markah kebersihan ditetapkan termasuk penemuan putung rokok di stor penyimpanan barang.
“Kita telah menerima aduan mengenai kejadian tular tersebut dan pemeriksaan mengejut di premis mendapati restoran ini tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan, sekali gus diarah tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai operasi, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, perbuatan seorang pekerja sebuah restoran mamak yang beroperasi di Jalan Hang Tuah membuang air kecil di longkang berhampiran premis berkenaan, dirakam orang awam dan menjadi tular dalam media sosial.
Klip video berdurasi 21 saat memaparkan kelibat lelaki itu yang memakai apron dan penutup kepala dilihat dengan selamba membuang air kecil di longkang belakang restoran sambil memeriksa keadaan sekeliling.
Dia kemudian terus beredar masuk semula ke dalam restoran tanpa membasuh tangan. Dipercayai, premis itu tidak mempunyai kemudahan tandas di dalamnya.
Tambah Dorothy, sebelum ini restoran terlibat pernah diarah tutup sebanyak dua kali pada 2022 kerana kotor.
Jelasnya, pemilik restoran mendakwa menyewa ruangan kecil di bangunan bersebelahan yang mempunyai kemudahan tandas tetapi sedang berdepan masalah bekalan air.
“Sepatutnya premis makanan perlu ada tandas untuk kemudahan pelanggan dan pekerja bukannya seperti ini, tandas disediakan tiada bekalan air.
“Keadaan ini menyebabkan pekerja terpaksa pergi ke tempat lain menggantikan fungsi tandas,” katanya.

































