Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei
PETALING JAYA: Beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akhirnya keluar daripada badi terkandas di pusingan kedua sejak permulaan musim 2024.
Ia selepas pasangan negara itu berjaya menempah slot suku akhir pada Kejohanan Badminton Thailand Masters di Bangkok, Thailand, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, pasangan No. 9 dunia dan diletakkan sebagai pilihan kedua itu menewaskan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-14, 21-15 dalam masa 32 minit di peringkat 16 terbaik.
Bagaimanapun, laluan itu boleh dianggap mudah kerana berdepan rakan sepelatih dan ujian sebenar menanti mereka di suku akhir bertemu gandingan No. 15 dunia, Robin Tabeling-Selena Peik.
Beregu Belanda itu yang memegang status selaku pilihan keenam dipaksa bekerja keras sebelum menumpaskan gandingan berpengalaman Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 18-21, 21-15, 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung selama sejam.
Rekod pertemuan kedua-dua beregu itu berpihak kepada Tang Jie-Ee Wei 2-1 dan jika berhajat melangkah ke separuh akhir, pasangan negara tersebut perlu mencatur strategi terbaik bagi mengelak kejutan yang tidak diingini.
Tang Jie-Ee Wei merupakan satu-satunya wakil Malaysia berjaya mara ke suku akhir, selepas pilihan kelima, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut menerima nasib serupa dengan Kian Meng-Pei Jing.
Pasangan kekasih itu tunduk kepada gandingan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 17-21, 21-17, 16-21 dalam masa 46 minit.
Sementara itu, dalam aksi beregu lelaki, pasangan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang turun sebagai pilihan keempat ditunjukkan jalan keluar oleh beregu Denmark, Andreas Sondergaard-Jasper Toft 23-25, 21-14, 14-21 dalam masa 58 minit.
Turut menerima nasib serupa ialah wakil tunggal Malaysia dalam saingan perseorangan lelaki, Cheam June Wei yang mudah ditumbangkan wakil Belanda, Mark Caljouw 7-21, 11-21 dalam masa 30 minit.


































