PETALING JAYA : Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan seorang lelaki warga China yang cedera ketika dilarikan dari sebuah hotel di Genting Highlands, Pahang sehingga kerugian RM200,000.
Penahanan itu turut membawa kepada rampasan kenderaan dan tiga telefon bimbit berkaitan dengan kes itu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, bertindak atas maklumat, tangkapan dilakukan pada 11 malam Rabu oleh Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang ke atas tiga lelaki berusia 32 hingga 53 tahun.
Kata beliau, tangkapan itu dibuat selepas satu laporan diterima daripada mangsa yang berusia 40 tahun bekerja sebagai wartawan pada pukul 4.32 pagi, 2 Januari lalu.
Kata beliau, mangsa didatangi tiga lelaki yang menawarkan untuk bermain di Kasino VIP, di sebuah hotel di Genting Highlands pada 11 Disember tahun lalu.
“Lelaki itu menawarkan cip tunai bernilai RM100,000 dan mangsa setuju untuk bermain. Selepas mangsa kalah, pihak peminjam meminta dia untuk membayar semula hampir RM200,000.
“Mangsa membayarnya melalui transaksi bank dalam talian. Namun selepas itu mangsa diminta memindahkan RM150,000 bagaimanapun dia enggan selepas mengesyaki ditipu dan diperdaya,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Mohd Zaid berkata, pada 31 Disember lalu, mangsa dijemput suspek untuk pergi makan malam tetapi dia dibawa ke kebun durian yang terletak tidak jauh perjalanan dari Genting Highlands sebelum dirampas barang peribadi serta dipukul.
Mangsa kemudianya dibawa ke kawasan perumahan di Kajang sebelum dikurung, diikat dan dipukul oleh beberapa lelaki tidak dikenali dalam pondok pengawal keselamatan berhampiran.
“Mangsa dapat melepaskan diri pada pukul 2.30 pagi, 2 Januari lalu dan dibantu orang awam membawanya ke Balai Polis Kajang untuk membuat laporan polis,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kata beliau, suspek ditahan mengaku terbabit dalam kes yang disiasat dan mengaku ada meminta wang daripada mangsa.
“Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Kajang dan direman lima hari mulai hari ini (kelmarin) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/324 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Afiq Rifdi Mohd Azmi di talian 011-29667474 bagi membantu siasatan,” katanya.
Media pada Rabu melaporkan, seorang ahli perniagaan warga China bukan sahaja kerugian RM200,000, malah turut cedera akibat dipukul ketika dilarikan beberapa individu dari sebuah hotel di Genting Highlands, Pahang pada 1 Januari lalu.


































