Christina Liew
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) mewujudkan dua portfolio baharu dinamakan Biro Konvensyen Sabah dan Program Rumah Keduaku Sabah-Malaysia (Sabah-MM2H) tahun ini.
Menterinya, Datuk Christina Liew berkata, Biro Konvensyen Sabah beroperasi tahun ini dengan pelantikan Noredah Othman sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya, manakala Program Rumah Keduaku Sabah-Malaysia (Sabah-MM2H) dengan pejabat akan datang akan dikendalikan oleh pegawai kerajaan.
Dengan ini, KePKAS kini mempunyai lapan portfolio. Selebihnya ialah Lembaga Pelancongan Sabah, Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Jabatan Muzium Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan Lembaga Kebudayaan Sabah.
Berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baharu Cina Bersama Media yang dihoskan olehnya di sebuah hotel terkemuka di sini kelmarin, Liew berkata, pelaporan yang bertanggungjawab adalah ciri persaudaraan media Sabah dalam menyebarkan maklumat tepat kepada masyarakat umum, terutama mengenai dasar kerajaan, program dan projek pembangunan.
Beliau bagaimanapun memerhatikan bahawa dengan kemunculan platform media sosial untuk memudahkan komunikasi dan pemerolehan pengetahuan, tugas wartawan itu menjadi semakin mencabar.
“Kerja pengamal media kini memerlukan pengesahan laporan berita tertentu di media sosial dengan pihak berkuasa yang berkaitan. Beberapa siaran media sosial ternyata berita palsu dan sekali gus mengelirukan orang ramai.
“Sebenarnya, berkongsi atau bertukar-tukar fakta atau idea yang berguna dalam kalangan pengguna di media sosial adalah satu perkara yang sihat dan harus digalakkan. Bagaimanapun, pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan penggunaan media sosial untuk kepentingan mereka sendiri,” kata Liew.
Bercakap daripada pengalaman, dia mengimbas kembali: “Saya sendiri menjadi mangsa penyalahgunaan media sosial beberapa tahun lalu apabila pihak tertentu memfitnah saya dengan menyebarkan pembohongan mengenai saya di platform media sosial. Nasib baik, keadilan ditegakkan dan nama saya dibersihkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah sementara hukuman dikenakan ke atas pemfitnah. Kebenaran mengalahkan segala kejahatan, bak kata pepatah.”
Sementara itu, Liew berkata, KePKAS akan meneliti cadangan Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersatu Kota Kinabalu (USCCAKK) untuk memasukkan Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa Tahun Baharu Cina ke dalam kalendar pelancongan Sabah sebagai acara tahunan.
Beliau berkata, pasukannya – Pembantu Menteri, Setiausaha Tetap dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah akan mengkaji cadangan itu.
“Ia adalah satu cadangan yang baik. Kami sedang mengambilnya untuk perbincangan, dan akan membentangkannya kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri untuk pertimbangan dan pengesahan.
“Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa Tahun Baru Cina diadakan setiap tahun oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merujuk kepada USCCAKK.
“Pesta tarian adalah sebahagian daripada budaya Cina, dan popular dengan masyarakat tempatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari.
Liew menjawab soalan pemberita yang mengemukakan soalan mengenai cadangan Presiden USCCAKK, Datuk Susan Wong pada Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa Tahun Baharu Cina di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Sabtu lalu.
Turut hadir pada acara makan tengah hari itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, Setiausaha Tetap KePKAS, Josie Lai, Timbalan Setiausaha Tetap II, Alesia Sion, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffrey Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah, Thonny Chee, Ketua Biro Bernama Sabah, Fadzli Ramli, Ketua Biro Star Sabah, Datuk Muguntan Vanar, dan Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA), Jimmy Goh.
































