Hajiji berbual dengan peserta program libat urus Sybil.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyeru pemimpin muda perniagaan dan industri di Sabah untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan membantu dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri untuk manfaat Sabah dan rakyat.
“Masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk Sabah dan saya mahu anda, sebagai ahli Pemimpin Perniagaan dan Industri Muda Sabah (Sybil) menjadi rakan kongsi kami dalam kemajuan bagi merealisasikan agenda pembangunan kami untuk manfaat Sabah dan rakyatnya,” katanya.
Bercakap semasa tampil pada majlis libat urus Pemimpin Muda Perniagaan dan Industri Sabah dengan Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) di Menara Kinabalu di sini hari ini, Ketua Menteri berkata, beliau gembira melihat keghairahan yang dicerminkan dengan kehadiran 100 peserta termasuk pemimpin muda perniagaan yang mapan di Sabah.
“Saya gembira melihat keghairahan seperti ini dan saya memuji inisiatif SEAC untuk memula dan memberikan suara kepada golongan muda daripada sektor perniagaan dan industri,” katanya.

Hajiii bergambar bersama peserta program libat urus Sybil.
Hajiji berkata, sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada September 2020, Kerajaan Negeri tidak membuang masa menstruktur semula ekonomi Sabah.
“Kami telah menetapkan sasaran berani untuk membangunkan Sabah dalam tempoh lima tahun mulai 2021 seperti yang ditunjukkan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kami. Sehingga kini, kami telah merekodkan lebih RM12 bilion pelaburan dalam 90 projek, menjanjikan beribu peluang pekerjaan.
“Minggu lalu, saya mengumumkan projek keluli hijau bernilai RM20 bilion. Fasa Pertama projek itu akan bermula pada penghujung tahun ini dan siap pada 2026, menjanjikan 2,795 peluang pekerjaan pada fasa operasinya. Dasar mesra pelabur kami telah menjadikan Sabah kondusif untuk pelaburan, dan kami menjangkakan lebih banyak pelaburan tidak lama lagi,” katanya.
Hajiji berkata, beliau meletakkan pelaburan ini sebagai asas kukuh untuk anak muda Sabah membina masa depan mereka.
Sementara itu, Pengerusi Sybil, James Wong berkata, program ini merupakan inisiatif membantu SEAC dalam merangka dasar untuk membangunkan kepimpinan muda ekonomi di negeri ini.
“Kami (Sybil) membantu menggerakkan kira-kira 100 pemimpin muda perniagaan dan industri dari Sandakan, Tawau malah Kuala Lumpur datang khusus untuk acara di mana kami mengadakan libat urus untuk melihat di mana profesional muda industri boleh menambah nilai, menyokong dan bekerjasama dengan Kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah sebenar hari ini,” katanya.
Beliau berkata, program itu adalah berasaskan penyelesaian semata-mata dan platform untuk pemimpin muda perniagaan untuk memikirkan cara membina ekonomi masa depan yang lebih kukuh dan bertenaga untuk Sabah.
































