Antara kelengkapan dan kemudahan yang disediakan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan SAGA X.
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan menjadi pusat maklumat kepada Sukan Sabah (SAGA) Ke-10.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN) Mohd Asneh Mohd Noor berkata, Jawatankuasa tersebut dikendalikan oleh MSN yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan data bagi SAGA X yang dianjurkan sehingga 22 Disember ini.
“Semua keperluan data dan maklumat bagi SAGA X ada disediakan kerana setiap data pertandingan akan dikumpul di sini antara unit yang berperanan dalam SAGA X ialah unit pendaftaran, jadual, data dan lain-lain.
“Seramai 40 orang urusetia yang terlibat dalam Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan SAGA X yang membantu dalam pengumpulan data bagi sukan yang dipertandingkan.
“Kami juga menyediakan kemudahan tempat kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah disamping Pusat Media turut disediakan sepanjang SAGA X yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan Sabah,” katanya kepada media di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor berkata, Pusat Media SAGA X dapat memberi kemudahan kepada pengamal-pengamal media yang membuat liputan sepanjang kejohanan SAGA X tersebut.
Menurutnya, penyediaan ruang dan lokasi yang strategik kepada pengamal media penting dalam memastikan keselesaan, keselamatan serta kemudahan internet penting dalam membuat tugasan media.
“Semua pengamal media Sabah di alu-alukan ke Pusat Media SAGA X yang bertempat di Aras Bawah, Blok B Bangunan Wisma Muis, Kota Kinabalu,” katanya.


































