Kerajaan negeri Kelantan akan memastikan acara Sukan Malaysia (Sukma) yang bakal berlangsung tahun 2028 mematuhi elemen patuh syariah. – Gambar Hiasan
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan memastikan acara Sukan Malaysia (Sukma) yang bakal berlangsung tahun 2028 mematuhi elemen patuh syariah selaras dengan dasar pentadbiran negeri ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, elemen patuh syariah turut membabitkan beberapa acara yang dikenal pasti agak sensitif seperti acara renang, renang berirama dan sebagainya.
Menurut beliau, pihaknya sudah mengadakan beberapa perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) negeri Kelantan berhubung elemen patuh syariah bagi acara tersebut.
“Insya-Allah, selepas ini kita akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MSN pusat untuk melihat ruang-ruang bagi memastikan acara berkenaan dapat mematuhi syariah,” katanya semasa menjawab soalan tambahan daripada Mohd. Rodzi Ja’afar (Pas-Gaal) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini kelmarin.
Zamakhshari berkata, pihaknya turut memohon sokongan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terutamanya ADUN Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim bagi merealisasikan usaha itu.
“Kita akan mencari jalan keluar dan melakukan yang terbaik untuk memastikan Sukma Kelantan 2028 patuh syariah,” kata beliau.
Dalam pada itu, Zamakhshari berkata, Kelantan akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM276 juta disalurkan kerajaan Pusat bagi membina enam fasiliti Sukma di Kompleks Sukan Bukit Merbau dan sebuah pusat akuatik di Madinah Al-Salam, Tunjong.
“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM164.35 juta untuk menampung kos pengambilan tanah, kerja-kerja awalan tanah dan penyediaan infrastruktur Kompleks Sukan Bukit Merbau dan Pusat Akuatik.
“Kesemua pembangunan ini dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun 2026 sebagai persiapan awal untuk penganjuran Sukma 2028 di negeri ini,” katanya.