Pemain Manchester United, Alejandro Garnacho cuba melepasi kawalan pemain Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang berlangsung di Goodison Park pada awal pagi Isnin.
LONDON: Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag berkata, Alejandro Garnacho tidak seharusnya dibandingkan dengan Wayne Rooney atau Cristiano Ronaldo selepas jaringan menakjubkannya membantu kemenangan 3-0 ke atas Everton, Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, ketika mencetak gol pertama dalam perlawanan itu, Garnacho yang berumur 19 tahun membuatkan penonton di Goodison Park terkesima selepas hanya tiga minit dengan sepakan gunting yang dilihat mampu menjadi pilihan gol terbaik musim ini.
Bekas bintang United, Rooney dan Ronaldo kedua-duanya turut pernah menjaringkan gol yang sama dalam karier mereka, namun Ten Hag menegaskan terlalu awal untuk meletakkan pemain bintang muda itu dalam kalangan pemain yang sama.
“Jangan bandingkan mereka, saya rasa ia tidak betul. Mereka semua mempunyai identiti mereka sendiri, tetapi untuk Garnacho pergi ke arah itu, dia mempunyai banyak perkara untuk masa akan datang, dia perlu bekerja keras.
“Anda perlu melakukannya secara konsisten dan setakat ini dia tidak melakukannya, tetapi dia pasti mempunyai potensi tinggi untuk melakukan beberapa perkara yang menakjubkan dan diluar kawalan seperti yang anda saksikan ketika menentang Everton.
“Ini bukan kali pertama kami melihat ini, kami sudah sering melihat sekilas, tetapi jika anda mahu menjadi pemain seperti Rooney atau Ronaldo anda perlu menjaringkan 20-25 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) setiap musim.
“Itu bukan mudah untuk diperoleh, anda perlu bekerja keras, anda perlu pergi ke kawasan yang menyakitkan. Jadi ada banyak yang akan datang. Tetapi potensi, dia ada,” kata Ten Hag yang teruja dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas Everton.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Ten Hag mencatatkan lima kemenangan daripada enam perlawanan liga untuk merapatkan jurang dengan pasukan teratas dan pengendali dari Sepanyol itu merasakan gol Garnacho sangat istimewa.
“Ia adalah gol yang hebat dan musim ini masih terdapat banyak perlawanan untuk dimainkan, tetapi mungkin sudah menjadi gol terbaik untuk musim ini.
“Bagaimanapun, ia bukan penamat. Saya harap itu (gol) akan menjadi permulaan untuk sampai ke penghujung, tetapi sudah tentu penamatnya luar biasa yang kami idamkan,” kata Ten Hag.