Shahelmey menggulung untuk Kementerian Kerja Raya Sabah pada persidangan DUN hari ini.
KOTA KINABALU: Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan (AP)182 telah menyaksikan secara keseluruhannya, Sabah telah menerima sejumlah 141 projek pembangunan persekutuan daripada pelbagai kementerian yang setiap satunya bernilai RM50 juta ke bawah, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 1.635 bilion dalam Rolling Plan Ke-3 (RP3).
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, daripada 141 senarai projek tersebut, 61 projek dengan kos projek RM8.967 juta mendapat pengecualian ke atas AP182, iaitu 60 projek daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan satu daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan had nilai sehingga RM1 juta bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil.
Manakala 15 projek yang bernilai keseluruhan RM316.563 juta diberikan pengecualian berdasarkan permohonan yang dibuat oleh pelbagai kementerian persekutuan yang lain, selaku pihak agensi pemilik, tambahnya.
“Oleh itu, senarai akhir projek yang dilaksanakan oleh JKR sabah adalah sebanyak 65 projek dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.3 bilion.
“Daripada 65 projek, 44 projek dijangka ditender pada tahun 2023 dan 21 projek pada tahun 2024 (iaitu pelaksanaan adalah diperingkat kerja awalan).
“Setakat ini, 17 projek daripada 44 projek yang disenaraikan adalah dalam peringkat perolehan, dengan kos perbelanjaan berjumlah RM824,200.00. Sebanyak sembilan projek telah ditender, satu dalam proses menunggu keputusan Lembaga Perolehan, empat akan ditender pada Disember 2023 dan tiga lagi dijangka akan ditender pada awal Januari tahun 2024,” katanya ketika menggulung untuk Kementerinnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada Datuk Annuar Ayub (Liawan) yang bertanya tentang jumlah projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta semasa membahas Belanjawan Sabah 2024.
Berkaitan dengan naik taraf jalan di kawasan Liawan iaitu di Kg. Gaulan, Kg. Sigapon, Kg. Batu 27, Kg. Senagang, Kg. Keritan, Kg Mempikit Ulu dan Kg. Ulu Keningau (Tarapa), Shahelmey berkata, jalan yang disebutkan memang telah dikenal pasti oleh pihak JKR Sabah dan telah dimasukkan ke dalam pangkalan data JKR Sabah untuk dicadangkan dalam Rolling Plan (RP) yang seterusnya di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) biayaan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” kata Shahelmey.
Bongawan
Berkaitan dengan status terkini kelulusan pembinaan Design & Built Klinik Kesihatan Daerah Membakut yang dibangkitkan oleh Dr. Daud Yusof (Bongawan), Shahelmey berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melantik JKR Sabah sebagai agensi pelaksana pada 25 Julai 2023.
Jelasnya, status projek ini masih dalam proses pelantikan perunding dan dijangka akan dimuktamadkan pada awal tahun 2024.
Tungku
Bagi menjawab pertanyaan Assaffal P. Alian (Tungku) tentang unit khas bagi membuat pemantauan kualiti kerja konsesi penyenggaraan jalan, Shahelmey memaklumkan bahawa kesemua 24 pejabat JKR Bahagian/Daerah mempunyai Unit Penyenggaraan Jalan yang diketuai sama ada oleh seorang Jurutera atau Penolong Jurutera dan mempunyai beberapa orang Penolong Jurutera serta Pembantu Awam Operasi.
Jelasnya, unit ini bertanggungjawab dan bertindak untuk memantau dan memeriksa semua kerja penyenggaraan berturap di daerah masing-masing bagi kesemua syarikat-syarikat konsesi/kontraktor penyenggaraan jalan berturap dan jalan tidak berturap yang dibawah tanggungjawab JKR Sabah.
“Bagi memudahkan orang awam untuk mengetahui status pemilikan jalan-jalan di dalam Negeri Sabah, Kementerian ini melalui JKR Sabah telah membangunkan Aplikasi Sabah Public Road Maps. Aplikasi ini membolehkan orang awam untuk mengenal pasti mana-mana jalan yang berada di bawah pemilikan JKR Sabah untuk memudahkan penyaluran sebarang aduan. Aplikasi ini juga turut memberikan maklumat asas berkaitan jalan tersebut seperti lokasi (daerah/KM), panjang jalan, syarikat konsesi / kontraktor penyenggaraan yang bertanggungjawab bagi jalan tersebut, jenis permukaan jalan, jenis jalan (Negeri / Persekutuan) dan lain-lain.
“Selain daripada itu, bagi mewujudkan hubungan interrelation di antara orang awam (sebagai pengguna utama jalan raya JKR Sabah) dan JKR Sabah, JKR Sabah juga telah membangunkan aplikasi Aduan Jalanraya JKR Sabah bagi memudahkan orang awam menyampaikan aduan berkaitan kerosakan jalan. Aplikasi ini juga membolehkan JKR Sabah memantau maklumbalas terhadap aduan kerosakan jalan yang diterima serta membolehkan aduan direkod dengan lebih teratur dan mudah diperolehi.
“Pihak JKR Sabah melalui pegawai-pegawai yang telah dipertanggungjawabkan di peringkat ibu pejabat dan daerah akan memantau aduan-aduan yang diterima daripada orang awam melalui Laman Dashboard Aduan Jalanraya JKR Sabah. Pengendalian aduan awam yang lebih sistematik ini secara langsung dapat menyumbang kepada jalanraya yang berkualiti, selamat dan selesa untuk digunapakai oleh orang awam.”
Sindumin
Berkaitan dengan isu yang dibangkitkan oleh Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Shehelmey berkata, pada tahun 2023, penyenggaraan jalan tidak berturap jabatan bagi kerja-kerja rutin dan berkala daerah Sipitang adalah bernilai lebih kurang RM4 juta.
Manakala bagi kontrak penyenggaraan jalan adalah sebanyak RM2.2 juta, katanya, sambil menambah untuk tahun 2024, anggaran keperluan adalah sebanyak RM4 juta bagi kerja penyenggaraan secara jabatan dan RM2.5 juta bagi kontrak penyenggaraan.
“Bagi jalan berturap yang disenggara oleh Syarikat konsesi pula, kos penyenggaraan sebanyak RM2.49 Juta telah diperuntukkan kepada Daerah Sipitang yang merangkumi kerja pembaikan pavement dan bukan pavement pada tahun 2023. Anggaran keperluan tahun 2024 adalah sebanyak RM9.4 Juta yang merangkumi kerja pembaikan pavement, non-pavement dan jambatan.
“Bagi jalan berturap luar bandar, kos pembaikan pavement adalah sebanyak RM1.55 Juta. Anggaran keperluan tahun 2024 adalah sebanyak RM3.7 Juta. Pelaksanaan kerja tahun 2024 adalah tertakluk kepada kelulusan peruntukan dan keutamaan pelaksanaan diperingkat negeri dan daerah.
20. Kementerian ini mengambil perhatian terhadap keperluan menaik taraf Jalan Mendulong – Meligan dan akan berusaha mendapatkan dana untuk keperluan tersebut.
“Pada ketika ini, sebuah projek iaitu Projek Naik taraf Jalan Kg. Bamban-Mendulong, Meligan, Sipitang, Sabah yang telah diluluskan dalam (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berada dalam peringkat perolehan Jabatan,” jelasnya.
Kadamaian
Kepada Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) yang menyentuh tentang isu jalan raya di kawasan Kadamaian, Shahelmey berkata, kesemua jalan raya yang disebut memang telah dikenal pasti oleh pihak JKR Sabah dan telah dimasukkan ke dalam pangkalan data JKR Sabah untuk dicadangkan dalam (RP) yang seterusnya di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) biayaan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak lima projek.
Katanya, senarai-senarai cadangan tersebut termasuklah:
* Bagi projek yang melibatkan Jalan Tiong Kamburaon ke SMK Narinang, sebuah projek iaitu Projek Naik taraf Jalan raya Tagimabur Kamburaon, Kota Belud, Sabah yang telah diluluskan dalam RP2 RMK12 berada dalam peringkat rekabentuk oleh pihak juruperunding.
* Bagi projek yang melibatkan Jalan Kg. Dundau menuju ke SK Piasau, sebuah cadangan telah dimasukkan ke dalam senarai keutamaan negeri iaitu Projek Menaik taraf Jalan Piasau – Dundau – Siasai, Kota Belud, Sabah telah disenaraikan didalam keutamaan negeri untuk kelulusan RP4 RMK12, di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) biayaan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Namun, kelulusan adalah mengikut keutamaan dan kedudukan semasa kewangan kerajaan.
Kemabong
Berkaitan dengan status jalan yang dibangkitkan oleh Datuk Rubin Balang (Kemabong), Shahelmey menjelaskan, status bagi jalan adalah seperti berikut:
a) Membina jalan-jalan penghubung di Kg. Gumisi dan Kg. Inubai (Jalan Kemabong – Gumisi Fasa 2), peruntukan tersedia untuk perkhidmatan perunding sahaja. Pelaksanaan projek hanya boleh dimulakan sekiranya peruntukan tersedia dan ianya tertakluk kepada kewangan semasa Kerajaan.
b) Naik taraf/membaiki Jalan Kampung Sumambu telah dikenal pasti oleh pihak JKR Sabah dan tersenarai di dalam pangkalan data untuk dicadangkan dalam senarai permohonan RP yang akan datang.
c) Naik taraf/membaiki Jalan Kampung Tilis telah disenaraikan di bawah program Menaik taraf Jalan raya-Jalan raya SRT2, SRT3 Jabatan Kerja Raya dan Non-Qualified Road (NQR) PBT di Sabah untuk dinaik taraf daripada jalan kelikir kepada jalan berturap.
d) Hakisan tanah dan tanah runtuh di KM16 Kemabong – Sipitang adalah kejadian yang berlaku di KM47.90 Jalan Sipitang Tenom, Tenom, Sabah. JKR Sabah telah membuat lencongan sementara dan terpaksa menurun taraf (downgrade) permukaan jalan di lokasi tersebut kepada tidak berturap (gravel surface). JKR Sabah akan sentiasa memantau pergerakan tanah dan tebing cerun di lokasi berkenaan. Kerja pembaikan sementara yang bersesuaian akan dilaksanakan sekiranya berlaku pergerakan tanah dan tebing cerun yang semakin teruk di lokasi tersebut sehinggalah kerja kekal pembaikan cerun dimulakan.
Beliau berkata, bagi isu penyelenggaraan jalan rosak dan jalan kampung, merujuk kepada Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan 3.0 (GP 3.0), jalan kampung boleh didaftarkan di dalam Sistem MARRIS oleh agensi-agensi Kerajaan seperti JKR, Majlis Bandaraya(MB)/Majlis Perbandaran(MP)/Majlis Daerah (MD) dan juga Pejabat Daerah (PD).
Katanya, berdasarkan data MARRIS yang dikemaskini sehingga 31 Disember 2022 di jalan kampung di seluruh negeri Sabah adalah sepanjang 2,731 Kilometer, dan panjang jalan disenggara mengikut agensi adalah seperti berikut:
i. JKR
ii. MB/MP/MD
iii. PD
“Bagi jalan-jalan kampung yang di bawah tanggungjawab JKR Sabah, jalan berturap disenggara sama ada oleh syarikat konsesi atau kontraktor penyenggaraan. Berkenaan dengan jalan-jalan yang rosak yang perlu dibaik pulih/dibina semula, pelaksanaan kerja baik pulih/bina semula adalah tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan setiap tahun dan dilaksanakan mengikut keutamaan di peringkat negeri dan daerah.
“Bagi jalan-jalan kampung tidak berturap pula (gravel roads), penyenggaraan dilaksana samada secara jabatan (iaitu kerja penyenggaraan dilaksana sendiri oleh JKR) ataupun melalui syarikat-syarikat kontraktor penyenggaraan. Berkenaan dengan jalan-jalan kampung yang telah rosak dan perlu dibaikpulih, pelaksanaan kerja pembaikan bagi penyenggaraan yang dilaksana secara jabatan adalah tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan setiap tahun dan dilaksanakan mengikut keutamaan diperingkat daerah. Manakala, bagi kerja penyenggaraan secara kontrak, peruntukan telah tersedia mengikut tempoh kontrak yang telah diluluskan.”
Sri Tanjong
Mengenai isu kesesakan trafik yang berkaitan dengan pembinaan dua lagi bulatan (roundabout) di Jalan Sin On Ahli yang dibangkitkan oleh Justin Wong (Sri Tanjong), Shahelmey berkata, pelan pembangunan bagi Kompleks Perumahan The Weld telah diluluskan pada 29 April 2022 oleh Majlis Perbandaran Tawau, dan ini termasuklah penyambungan jalan ke Jalan Sin On.
Menurutnya, ia merangkumi penyelesaian mitigasi trafik keseluruhan iaitu menaik taraf sebahagian daripada Jalan Sin On ke lorong berkembar dua hala dan pembinaan simpang jenis bulatan bagi melancarkan aliran trafik berdasarkan daripada Laporan Impak Trafik (TIA) yang telah dikemukakan ke Jabatan Kerja Raya untuk ulasan teknikal terhadap pembangunan tersebut.
Bagi menjawab pertanyaan berkaitan proses pengambilan tanah bagi tujuan naik taraf Jalan Utara kepada dua laluan (dual carriageway) di Tawau, beliau berkata, pengambilan balik tanah dan pampasan struktur yang terlibat dalam jajaran Projek Naiktaraf Jalan Utara Baru, Tawau telah dihantar kepada Jabatan Tanah dan Ukur dan kini masih dalam proses.
“Sebanyak 85 lot tanah telah diproses di bawah Seksyen 3, Ordinan Pengambilan Tanah Bab 69.”
Mengenai isu lampu jalan dibangkitkan oleh Wong dan Datuk Frankie Poon (Tanjong Papat), Shahelmey berkata, Kementerian ini melalui Jabatan Kerja Raya menyedari berkenaan permasalahan ini.
Katanya, penyelenggaraan dan penambahbaikan lampu-lampu jalan ini sebenarnya telah dilaksanakan secara berfasa dari tahun 2022 dan masih diteruskan pada tahun ini tertakluk kepada peruntukan daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKRM).
“Sebagai makluman, lampu jalan di Sabah yang terletak di sepanjang jalan majlis, jalan JKR (Negeri dan Persekutuan) antara tahun 2015 hingga 2020 berada di bawah jagaan pihak berkuasa tempatan. Pada pertengahan tahun 2021, lampu jalan sepanjang jalan persekutuan adalah di bawah seliaan JKR Sabah dengan peruntukan kewangan dari Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKRM) manakala lampu jalan sepanjang jalan negeri masih di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan.
“JKR Sabah telah mula untuk melaksanakan beberapa kerja pembaikan lampu jalan di sepanjang jalan persekutuan termasuk di kawasan persimpangan seperti bulatan (roundabout) berdasarkan peruntukan tahun semasa yang diluluskan oleh KKRM.”
Elopura
Mengenai Calvin Chong (Elopura) yang memohon penjelasan sebab keperluan setiap lori, bas mini dan bas sekolah memasang GPS di mana ini akan membebankan pengusaha-pengusaha pengangkutan, Shahelmey berkata, Kerajaan sebenarnya telah mula memperkenalkan inisiatif pemasangan GPS terhadap kenderaan perdagangan di Semenanjung Malaysia sejak tahun 2008 sebagai satu langkah keselamatan kepada pengguna jalan raya secara amnya.
“Bermula Mac 2023, kenderaan barangan di Sabah dan Labuan telah diwajibkan untuk memasang GPS bagi tujuan yang sama. Pemasangan GPS kepada kenderaan barangan boleh meningkatkan keselamatan,” jelasnya.
Darau
Sementara itu, berkaitan dengan kerja-kerja penyenggaraan atau menaik taraf jambatan atas air seperti yang dibangkitkan oleh Azhar Matussin (Darau), Shahelmey berkata, ia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Telupid
Kepada Jonnybone J. Kurum (Telupid) yang bertanya tentang perancangan infrastruktur jalanraya secara menyeluruh di Sabah, Shahelmey berkata, Kementerian ini melalui JKR Sabah, sememangnya mempunyai program tersedia di bawah Peruntukan Kerajaan Negeri bagi membina prasarana jalan raya di negeri Sabah.
“Walau bagaimanapun pelaksanaan projek adalah mengikut keutamaan dan tertakluk dengan keadaan kewangan semasa kerajaan,” katanya.


































