Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) komited melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menggalakkan pelajar-pelajar termasuk pelajar luar bandar menceburi bidang STEM.
Ini berikutan data Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tahun 2022 menunjukkan kadar penglibatan pelajar-pelajar dalam bidang STEM masih jauh daripada sasaran 60:40 (Sains :Sastera), dengan Sabah hanya merekodkan 28 peratus pelajar dalam aliran STEM.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan Kementerian yang prihatin dengan isu ini ialah memperkasakan peranan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) bagi menarik minat pelajar-pelajar terhadap STI dengan pembinaan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (Pusat STI) di Perpustakaan Keningau dengan kos sebanyak RM3.0 juta.
Menurutnya, pusat ini dilengkapi dengan pengisian teknologi terkini berkonsepkan asas Sains laitu Matematik, Fizik, Biologi dan Kimia dengan suasana persekitaran yang menyeronokkan dan interaktif.
“Pembinaan Pusat STI ini akan memanfaatkan pelajar-pelajar Pedalaman Atas iaitu di Keningau, Tenom dan Tambunan.
“Diharapkan pusat-pusat ini akan dapat dibangunkan di Tawau dan Sandakan pada tahun 2024 agar fasiliti-fasiliti ini dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar di kawasan Zon Sandakan dan Pantai Timur,” katanya kepada Datuk Jaffari Waliam (ADUN Dilantik) yang bertanya apakah usaha Kerajaan dalam kempen memperkasa subjek Sains, Teknologi Dan Inovasi khasnya terhadap pelajar luar bandar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dr. Mohd. Arifin berkata, selain itu, Kementeriannya juga telah menganjurkan Program Outreach STEM pada tahun ini khas untuk pelajar-pelajar luar bandar. Antara programprogram yang telah dilaksanakan adalah:
i. Program Kembara Sains Borneo Siri 1 di Kota Marudu, Pitas dan Kudat;
ii. Kembara Sains Borneo Siri 2 di Kimanis, Kalabakan dan Pensiangan;
iii. STEM FIESTA di semua daerah;
iv. Program Outreach STEM luar bandar; dan
v. Mini Teater STEM di Beaufort.
Dr. Mohd. Arifin berkata, Kementerian juga berkolaborasi bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) melalui Program National Science Challenge yang telah diadakan di World Trade Centre, Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2023.
“Program ini bertujuan untuk memupuk minat dikalangan pelajar sekolah mendalami bidang STI seterusnya menyemai kecenderungan mereka untuk meneruskan pengajian dan kerjaya dalam bidang tersebut. Sabah mendapat pengiktirafan penyertaan terbanyak pelajar luar bandar iaitu seramai 2,454 orang,” katanya.
Beliau berkata, Karnival Sains Sabah (KSS) iaitu program flagship KSTI telah dianjurkan sejak tahun 2021 dan merekodkan seramai 1.8 juta penyertaan bagi tempoh 2021 hingga 2022. Pada tahun ini, Program KSS yang telah diadakan pada tahun 2023 adalah Karnival STEM, STEM4U, Science & Art Educamp dan 3S Stem Speaker Series.
“Selaras dengan Memorandum Perjanjian yang telah ditandatangani pada 11 Julai 2023 di antara KSTI bersama China Science Technology Museum dan Guangxi Science Technology Museum, sebanyak 60 buah bahan pameran Sains bernilal lebih RM3.0 juta telah ditempatkan di Sabah bagi tempoh tiga (3) tahun.
“Pameran bergerak bertemakan “Experiencing Science; Enlightened Innovation” ini menjelajah termasuk ke 13 lokasi luar bandar di seluruh negeri. Berdasarkan perancangan, jelajah di luar bandar ini melibatkan daerah Kudat, Tambunan, Ranau, Beaufort, Tenom, Sipitang dan Kota Belud,” ujarnya.
































