Masidi membentangkan Belanjawan Sabah 2024.
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Anggaran Hasil Disemak Sabah untuk tahun ini diunjurkan akan kekal di paras RM6 bilion iaitu RM6.419 bilion, walaupun terdapat kejatuhan harga petroleum mentah (CO) dan minyak sawit mentah (CPO).
Beliau berkata, hasil negeri pada tahun depan dijangka akan mengalami penurunan disebabkan situasi geopolitik dan ekonomi yang tidak menentu sekaligus memberi kesan kepada harga komoditi CO dan CPO di pasaran global.
Hasil Kerajaan Negeri banyak bergantung kepada komoditi CO dan CPO, katanya.
“Justeru itu, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan separa konservatif dalam penyediaan Anggaran Hasil Tahun 2024 agar kedudukan kewangan Kerajaan Negeri kekal kukuh,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Menurutnya, anggaran hasil bagi tahun 2024 diunjurkan sebanyak RM5.737 bilion seperti pecahan berikut:
* Hasil Cukai sebanyak RM2.636 bilion disumbang oleh Cukai Jualan Negeri (CJN) RM2.490 bilion; Sewa Tanah RM103 juta; serta Cukai Pelabuhan dan Dermaga RM42.5 juta;
* Hasil Bukan Cukai sebanyak RM2.372 bilion merangkumi Royalti Petroleum RM1.3 bilion; Jualan Air RM300 juta; Faedah atas Baki Wang Tunai dan Simpanan Jangka Pendek RM201 juta; Premium Tanah RM150 juta; Dividen RM143.7 juta serta Royalti dan Bayaran Keluaran Hutan RM133 juta; dan
8 Belanjawan 2024 Sabah Maju Jaya
* Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM729.10 juta iaitu merangkumi pulangan balik perbelanjaan, terimaan dan sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan dan terimaan-terimaan lain.
Memampankan Hasil Negeri
Masidi berkata, Kerajaan Negeri sentiasa peka terhadap kedudukan hasil negeri.
Melihat kepada senario dan prestasi pungutan hasil yang tidak menentu, katanya, pelbagai usaha dan penambahbaikan sentiasa dirancang, dilaksana serta dipergiat untuk memastikan hasil negeri kekal mampan.
Menurutnay, antara usaha-usaha dan tindakan yang sedang dan akan dilaksanakan adalah seperti berikut:
* Kementerian Kewangan Negeri sedang melaksanakan Program Khas Pengakuan Sukarela Cukai Jualan Negeri bagi pembayaran dua produk CJN iaitu Komoditi Perikanan serta Besi Buruk dan Buangan yang dibawa keluar dari Sabah. Justeru itu, beliau menggesa agar syarikat-syarikat terlibat tampil secara sukarela untuk mendaftar lesen dan mengisytiharkan cukai yang sepatutnya dibayar selaras dengan Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998;
* Memperkasakan penguatkuasaan untuk mendapatkan tunggakan hasil dan menangani ketirisan hasil dengan bantuan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Malaysian Palm Oil Board (MPOB) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia;
* Memastikan pematuhan terhadap Surat Pekeliling Kementerian Kewangan berkenaan Garis Panduan Terimaan Hasil Negeri Secara Elektronik Melalui Kaedah Tanpa Tunai (Cashless);
* Meneroka sumber-sumber yang berpotensi dijadikan sebagai sumber hasil baharu Kerajaan Negeri; dan
* Meneruskan tuntutan bersama Kerajaan Persekutuan berkenaan Pemberian Khas sepertimana yang dinyatakan dalam Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.
“Meningkatkan kualiti kehidupan rakyat merupakan visi setiap pemimpin. Namun, tanpa sumber kewangan yang kukuh semua yang direncanakan akan menjadi sia-sia. Maka dengan itu, Kerajaan Negeri tidak pernah berhenti untuk mencari, merancang dan melaksanakan pelbagai langkah dan cara untuk meningkatkan hasil dan mengukuhkan kedudukan kewangan negeri,” katanya.
Beliau menyeru kepada semua pihak yang terlibat agar bertanggungjawab dan menjiwai dengan sepenuhnya setiap peranan dan tugas yang telah diamanahkan.
“Marilah kita bersama-sama menggalas amanah ini dengan semangat kerja berpasukan, dedikasi dan berani untuk menghadapi apa juga cabaran agar hasrat untuk memperkukuhkan kewangan negeri dapat dicapai. Insya-Allah.”
































