Pasukan Pandora yang menjuarai Kategori Berpasukan merupakan ahli PUSPANITA seumur hidup yang sudah berpencen menerima trofi yang disampaikan oleh Safar (tiga dari kiri).
KOTA KINABALU: Sebanyak 31 pasukan menyertai Kejohanan Boling Piala Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah 2023.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong berkata program seumpama perlu dilaksanakan untuk menjaga kesihatan fizikal, mental dan emosi.
“Boling antara sukan yang dapat menyantuni tiga aspek kesihatan iaitu fizikal dan mental disamping mengumpulkan ramai orang untuk bermain bersama sekaligus memperluaskan hubungan sosial, mengeratkan silaturahim serta menyihatkan tubuh badan,” katanya semasa merasmikan Penutupan Kejohanan Bowling Piala Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah 2023 pada Ahad.

Safar semasa menyampaikan ucapan.
Pertandingan dua hari tersebut dianjurkan oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sabah melibatkan Kategori Berpasukan, Kategori VIP Lelaki (Ketua Jabatan/Penasihat PUSPANITA Cawangan Negeri dan Daerah) serta Kategori VIP Wanita (Ketua Jabatan/Pengerusi PUSPANITA Jawatankuasa Kecil/Cawangan Daerah).
Safar turut berkata sesuai moto PUSPANITA, ‘Wanita Sepakat, Negara Meningkat,’ pertandingan tersebut mampu memberikan kesepakatan dan perpaduan apabila semua bekerjasama untuk mencapai suatu objektif serta membantu dalam produktiviti pasukan.
“Semoga pelaksanaan Kejohanan Boling Piala SKN Sabah 2023 ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan lagi silaturahim dan kemesraan di kalangan ahli PUSPANITA sekaligus meningkatkan produktiviti PUSPANITA khususnya di negeri ini,” ujarnya.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman; Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datuk Dr Nuinda Alias; Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Siti Yuslani Mohd Samsuri dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sukan dan Rekreasi merangkap Pengerusi Pelaksana Kejohanan Tenpin Bowling Piala SKN, Jane Rita Gondipon.