Para pengamal media dan pegawai TH merakamkan gambar kenangan sebelum perlawanan boling bermula.
KOTA KINABALU: Tabung Haji (TH) menganjurkan perlawanan persahabatan boling bersama dengan wakil media sempena Program TH Bersama Media 2023.
Menurut Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan TH, Ahmad Shahriman Johari, program tersebut diadakan bagi menghargai para pengamal media yang banyak menyokong serta membuat liputan dan publisiti program-program anjuran Tabung Haji.
“Terima kasih kepada semua media atas komitmen dan kehadiran bukan saja untuk program ini tetapi juga dalam semua program anjuran TH terutama liputan pada musim Haji.
“Semoga hubungan kerjasama erat antara TH dan media akan terus diperkukuhkan terutama sekali dalam membuat liputan dan publisiti terhadap program-program TH pada masa hadapan,” kata beliau kepada media sempena program berkenaan di sini, pada Sabtu.
Perlawanan tersebut disertai seramai 40 wakil media termasuk para pegawai dan kakitangan TH.
Hadir sama, Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said; Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Sabah, Yusdi Nasip; Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad, Pengarah RTM Sabah, Salmah Hashim serta Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa.