Aksi Mohammad Syafiq Kamal dan Aifa Azman ketika menentang beregu India, Abhay Singh-Anahat Singh pada separuh akhir Sukan Asia 2022 di Hangzhou hari ini. – Ihsan MOM
PETALING JAYA: Tiga wakil Malaysia berjaya melangkah ke perlawanan akhir skuasy bermakna tiga prospek emas mampu diraih Malaysia dalam Sukan Asia di Hangzhou.
Menurut Utusan Malaysia, Ng Eain Yow yang turun sebagai pilihan utama perseorangan lelaki mengetuai kemaraan pemain negara bersama naib juara perseorangan wanita lima tahun lalu, S. Sivasangari dan beregu campuran, Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman.
Eain Yow dipaksa berhempas pulas dalam pertarungan 52 minit sebelum menumpaskan Abdullah Al-Tamimi dari Qatar 10-12, 11-7, 11-9, 11-5, sekali gus bakal berdepan jaguh India, Saurav Ghosal dalam perlawanan akhir esok.
Sivasangari yang dikecewakan oleh ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dalam perlawanan akhir di temasya Palembang/Jakarta 2018 berpeluang menebus kekecewaan selepas menyingkirkan pilihan pertama dari Jepun, Satomi Watanabe 11-8, 11-8, 11-4.
Pemain No. 1 negara itu kini akan berdepan pemain muda Hong Kong, Chan Sin Yuk, 21, lawan yang mengecewakannya dalam perlawanan akhir Kejohanan Asia, Jun lalu.
Sementara itu, kejayaan Syafiq-Aifa menumpaskan pasangan India, Abhay Singh-Anahat Singh 8-11, 11-2, 11-9 akan menemukan mereka dengan pilihan pertama, Harinder Pal Singh Sandhu-Dipika Pallikal Karthik juga dari India.
Skuasy sudah menghadiahkan sebutir pingat emas di Hangzhou menerusi berpasukan wanita.