PETALING JAYA: Polis menahan empat lagi suspek yang dipercayai terbabit kes rogol berkumpulan seorang wanita di Seksyen 2 Wangsa Maju, dekat sini pada 30 Ogos lalu.
Penahanan kesemua suspek dilakukan menerusi operasi khas, Jumaat hingga kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pada mulanya, seorang lelaki tempatan ditahan di Taman Melawati, di sini, kelmarin.
Kata beliau, seterusnya, tangkapan kedua dibuat Jumaat membabitkan dua lelaki warga tempatan di Bachok, Kelantan.
“Seorang lagi suspek yang juga lelaki warga tempatan pula ditahan di Setapak, di sini, hari ini (kelmarin),” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Ashari berkata, tangkapan empat lelaki berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai lima suspek dipercayai terbabit dalam kes itu.
“Ini termasuk tangkapan seorang lelaki tempatan yang sudah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur, semalam di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam dan pihak terbabit kerana membantu sehingga berjaya mengesan serta menangkap semua suspek,” jelasnya.
Jumaat, seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan bersubahat dengan rakan lain yang masih bebas untuk merogol adik iparnya secara bergilir-gilir di sebuah rumah, bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.