Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menitiskan air mata pada hari terakhir Kembara Kenali Borneo di Sabah.
KOTA KINABALU: “Sabah menangis, saya juga menangis, rakyat juga menangis, langit juga menangis. Mereka (rakyat) masih berada di luar sana dalam hujan lebat menunggu kedatangan kita. Saya sudah basah separuh badan sebab kena buka tingkap untuk bersalam dengan mereka.
Itu antara momen yang dikongsikan oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas berakhirnya Kembara Kenali Borneo di Sabah.
Ini kerana selepas berakhirnya Kembara Kenali Borneo di Sabah pada Khamis, dapat dilihat dengan jelas keterujaan rakyat Sabah menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Di sebalik keterujaan itu, ada juga rakyat yang mengambil peluang tersebut untuk menyuarakan masalah kemudahan infrastruktur yang dihadapi di kawasan mereka. Situasi itu menggambarkan betapa terdesaknya rakyat Sabah untuk menyampaikan masalah mereka kepada Seri Paduka berdua.
Menurut Utusan Malaysia, Raja Permaisuri Agong turut dilihat menitiskan air mata semasa menyantuni rakyat yang sabar menanti kedatangan Seri Paduka berdua sehingga ada yang sanggup menunggu dalam keadaan hujan lebat.
“Terima kasih Sabah, saya akan ingat saat ini sepanjang hidup kami. Kami rasa bersalah melihat rakyat menunggu dalam keadaan hujan tapi, kami tidak dapat turun bersalam dengan mereka,” titah Tunku Azizah.
Malah, Al-Sultan Abdullah turut bertitah segala masalah dan aduan rakyat yang disampaikan kepadanya sepanjang Kembara Kenali Borneo itu akan dibawa untuk perhatian dan tindakan kerajaan Persekutuan.
Program Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bermula dari Tawau pada 3 September dan akan berakhir di Teluk Melano, Sarawak pada 13 September yang melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer (km).