Mohamed Salah
LONDON: Pengurusan tertinggi Liverpool berbelah bagi sama ada mahu menerima atau tidak tawaran 215 juta pound (RM1.26 bilion) yang dikemukakan kelab Arab Saudi, Al-Ittihad untuk Mohamed Salah.
Salah, 31, menjadi subjek spekulasi perpindahan sejak beberapa minggu lalu, dan terus dikaitkan dengan perpindahan lumayan ke Asia Barat sehinggalah jendela perpindahan Arab Saudi ditutup kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ittihad sebelum ini menawarkan 150 juta pound (RM881 juta) yang ditolak Liverpool, namun dijangka kembali dengan tawaran lebih baik 215 juta pound.
Jumlah itu akan mengatasi rekod perpindahan semasa dan mencipta rekod dunia.
Menurut The Sun, beberapa pegawai tertinggi Liverpool masih berfikir sama ada mahu mempertahankan Salah atau tidak kerana ditawarkan bayaran yang sangat besar.
Begitupun Reds juga tersepit kerana tidak dapat membeli pengganti Salah sehingga Januari tahun depan jika memutuskan untuk melepaskan penjaring terbanyak mereka selama enam musim itu.
Walaupun pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bertegas tidak akan menjual Salah, namun laporan menunjukkan Salah bersedia mempertimbangkan pakej gaji 2.45 juta pound (RM14 juta) seminggu di Ittihad.
Nilai itu sudah tentu mengejutkan dan membuatkannya berfikir meninggalkan Anfield, malah kelab Saudi itu juga menawarkan insentif lain.