Wajah Miche Minnies seiras legenda Brazil, Ronaldinho.
LONDON: Pemain wanita Miche Minnies yang memiliki rupa paras mirip legenda Brazil, Ronaldinho diminta oleh peminatnya untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Minnies, 21, merupakan penyerang kelab Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns.
Menurut Utusan Malaysia, dia menjadi tular di media sosial selepas para penyokong melihat dirinya seperti bayangan kepada bekas pemenang Ballon d’Or itu.
Gambar Minnies beraksi disiarkan bersama foto Ronaldinho dan persamaan tersebut menjadi lebih ketara jika kedua-duanya memakai jersi kuning.
“Ronaldinho mesti menjelaskan mengapa dia mempunyai penampilan yang amat seiras Miche Minnies yang bermain untuk Mamelodi Sundowns Ladies di Afrika Selatan!” kata seorang pengguna media sosial.
“Ini ialah Miche Minnies, pemain sayap Afrika Selatan yang bermain untuk Mamelodi Sundowns. Ronaldinho perlu menjelaskan sesuatu kepada kami,” ujar yang lain.
Minnies merupakan pemain yang berbakat dan telah menjaringkan 23 gol dalam semua pertandingan untuk membantu Sundowns mengekalkan kejuaraan Liga Super negara itu.
Dia turut membawa pasukan itu melayakkan diri ke perlawanan akhir kelayakan Piala COSAFA dan Liga Juara-Juara Wanita CAF.