Yee Tsai Yiew
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Api-Api, Yee Tsai Yiew dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Ketua Menteri kepadanya untuk memegang jawatan tersebut, Yiew yang merupakan seorang peguam berkata, pelantikan itu adalah bukti Ketua Menteri mengutamakan kepentingan memperkasakan belia, khususnya wanita muda, dalam perkhidmatan sosial.
“Saya akan melakukan yang terbaik dalam tugas saya sekaligus menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran Sabah,” kata Yiew, yang merupakan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk kerusi Parlimen Kota Kinabalu pada Pilihan Raya Umum yang lalu, dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berharap pelantikannya akan menggalakkan lebih ramai penyertaan wanita dalam tadbir urus sosial dan politik, serta membawa perspektif dan pendekatan baharu.
Dalam hal lain, Yiew akan berlepas ke Beijing, China pada 7 sehingga 27 September untuk menghadiri Seminar Pembangunan Keupayaan untuk Pegawai Wanita dalam Pengurusan Sosial dari Negara- Negara Membangun, sebagai wakil Kerajaan Negeri.
Seminar yang dianjurkan oleh Universiti Wanita China itu akan menawarkan pengalaman dan pandangan berharga mengenai penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi dan sosial dari negara- negara membangun.