TAIPEI: Taufan Haikui kembali melanda kepulauan ini buat kali kedua sehingga menumbangkan pokok dan mengakibatkan banjir sepanjang malam.
Taufan Haikui sebelum ini dilaporkan mula meninggalkan taiwan itu tetapi kembali melanda pulau terbabit pada kelmarin di barat daya Kaohsiung, disusuli ribut tropika yang teruk.
Tiada laporan mengenai kematian, bagaimanapun terdapat kemusnahan besar di pesisir pantai Taitung iaitu sebuah daerah pergunungan di timur Taiwan yang kurang penduduknya, di mana ribut melanda sehari sebelumnya.
“Saya sudah lama tinggal di sini dan saya tidak pernah melihat tiupan angin seperti itu,” kata Chen Hai-feng, 55, ketua kampung di perbandaran Donghe Taitung.
Walaupun Taufan Haikui kali kedua ini dianggap kurang teruk berbanding ribut sebelumnya, Chen berkata ia terasa lebih kuat.
Di utara Donghe, pekerja dilihat mengangkut blok besar ke lebuh raya pantai yang sebahagiannya runtuh akibat dipukul ombak, dengan harapan struktur konkrit itu mampu mengurangkan kesan berkenaan.
Haikui ialah taufan pertama di Taiwan dalam tempoh empat tahun, yang memaksa pemindahan lebih 7,000 orang di seluruh pulau itu, terutama dari kawasan pergunungan yang terdedah kepada tanah runtuh.
Ratusan penerbangan turut dibatalkan dan perniagaan ditutup manakala lebih 217,000 isi rumah kehilangan bekalan elektrik buat sementara waktu.
Menjelang kelmarin sebanyak 58,000 rumah masih tidak mempunyai bekalan elektrik, manakala sekolah dan perniagaan ditutup di 14 bandar akibat hujan lebat turun.
Peramal di Biro Pusat Cuaca Taiwan berkata Haikui pada mulanya kelihatan bergerak melalui pulau itu dan keluar ke laut tetapi membuat pendaratan kedua di Kaohsiung pada pukul 4 pagi.
Pada waktu malam ‘taufan hampir mengelilingi’ Kaohsiung, tetapi apabila ia bergerak di sepanjang pantai struktur taufan itu rosak dan beransur-ansur lemah”, katanya.
Media tempatan melaporkan bahawa jalan raya dinaiki air di Kaohsiung dan pokok-pokok yang tumbang berselerak di seberang jalan.
Hampir 80 orang cedera semasa taufan itu, menurut pihak berkuasa, kebanyakannya disebabkan oleh pokok tumbang dan kemalangan kereta.
Haikui kini dijangka membawa angin kencang dan hujan ke selatan dan timur laut serta ke pulau terpencil Taiwan Kinmen dan Penghu.