PETALING JAYA: Polis mengenal pasti individu yang terlibat dalam kes pukul membabitkan seorang pengadil perlawanan futsal oleh seorang lelaki di sebuah pusat sukan di sini, baru-baru ini.
Satu laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 40-an pada pukul 12.12 tengah malam pada 31 Ogos lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian dikatakan berlaku di Kompleks Sukan, Jalan PJU 1A/4 Ara Damansara pada pukul 9.45 malam pada 29 Ogos lalu.
Kata beliau, suspek sudah dikenal pasti dan akan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang pengadil yang sedang mengendalikan perlawanan futsal di sebuah pusat sukan dekat Petaling Jaya di sini dibelasah seperti aksi ‘muay thai’ oleh seorang pemain.
Lebih malang, kejadian terbabit disaksikan sendiri seorang wanita dipercayai isteri kepada pengadil berkenaan sebelum dia berkongsi insiden itu dalam media sosial.
Wanita terbabit yang menggunakan nama akaun Nnies Adniza berkongsi klip video berdurasi 13 saat yang memaparkan pengadil melayangkan kad merah kepada seorang penjaga gol selepas ia dilihat melakukan kekasaran yang membahayakan pemain lawan.
Namun, secara tiba-tiba seorang pemain ‘naik hantu’ sebelum meluru masuk dan lompat serta menyerang seperti ala Muay Thai dengan menggunakan lutut ke arah belakang badan pengadil berkenaan.