Bekas pemain England Joe Cole melakukan undian UCL di Monaco.
MONACO: Manchester United akan menentang kelab Harry Kane, Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini, manakala undian awal pagi tadi turut menemukan Paris Saint-Germain (PSG) dengan Newcastle United.
Bayern dan United menjadi pasukan pilihan untuk mara dari Kumpulan A yang turut menampilkan FC Copenhagen dan juara Turkiye, Galatasaray.
Menurut Utusan Malaysia, pertembungan Bayern dan United mengimbau pertemuan paling diingati dalam final Liga Juara-Juara 1999 yang dimenangi United 2-1 selepas kebangkitan menakjubkan pada lewat permainan.
Kapten England, Kane yang baru berpindah ke Jerman dari Tottenham menulis di Twitter: “Tidak sabar untuk menunggu semua ini.”

Sementara itu, Kumpulan F dilihat paling sukar apabila Newcastle akan berdepan AC Milan, Borussia Dortmund dan PSG.
Newcastle tampil dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 20 tahun, dan kurangnya pembabitan dalam pertandingan kelab elit Eropah itu meletakkan mereka pada kedudukan bahaya di balang keempat undian.
Juara Perancis, PSG yang berjaya mengekalkan Kylian Mbappe dijangka layak ke pusingan 16 terakhir tetapi Newcastle berharap untuk mengatasi Dortmund dan Milan yang layak ke separuh akhir musim lalu.
“Ia jelas kumpulan paling sukar, kami tidak boleh lari daripadanya, tetapi kami menerimanya.
“Kami berharap dapat meraih sesuatu yang luar biasa,” kata presiden Dortmund, Hans-Joachim Watzke kepada Sky Germany.
Manchester City yang merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali pertama musim lalu menerima undian mudah bersama RB Leipzig, Red Star Belgrade dan Young Boys dalam Kumpulan G.
Kembali dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak musim 2016-2017, Arsenal pula akan berdepan juara Liga Europa, Sevilla, PSV Eindhoven dan Lens dari Perancis dalam Kumpulan B.
Juara 14 kali, Real Madrid yang merangkul trofi 2022 diundi bersama juara Itali, Napoli dalam Kumpulan C yang turut menampilkan Braga dari Portugal dan pendatang baharu, Union Berlin.
Juara Sepanyol, Barcelona akan menentang Porto, Shakhtar Donetsk dan Royal Antwerp dari Belgium dalam Kumpulan H.
Naib juara musim lalu Inter Milan berada dalam Kumpulan D bersama juara Portugal, Benfica, Red Bull Salzburg dan Real Sociedad dari Sepanyol.