Pasukan bomba mengusung mayat mangsa keluar daripada kawasan hutan. – Ihsan Bomba
TUARAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di hutan Kampung Bambangan Lama, Ulu Kiulu, di sini, sejak 22 Ogos lalu ditemukan mati kelmarin.
Mayat mangsa yang berusia 32 tahun itu dijumpai oleh penduduk pada jam 10.30 pagi, kira-kira tiga kilometer dari kawasan kampung dan pihak berkuasa seterusnya dimaklumkan mengenai penemuan itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pasukan bomba tiba di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) jam 12.50 tengah hari kelmarin sebelum ke lokasi penemuan mayat.
“Pasukan bomba membawa mayat menggunakan pengusung ke PKTK dan mengambil masa kerana laluan bukit yang sukar di kawasan hutan.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis pada jam 6.14 petang untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah operasi mencari dan menyelamat hari ke-5 itu ditamatkan pada jam 6.24 petang.
Khamis lalu (24 Ogos), ahli keluarga melaporkan kehilangan mangsa di Balai Polis Tamparuli selepas mangsa tidak kembali ke rumah sejak 22 Ogos, jam 5 pagi.
Operasi SAR bagi mengesan mangsa kemudiannya dijalankan dengan melibatkan pelbagai agensi dan orang awam.































