Empat suspek dibawa untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berkait kematian seorang penganggur yang dipukul selepas tertangkap ketika cuba menceroboh dan memecah masuk sebuah rumah di Kampung Belukar, Tapang di sini, Ahad lalu
Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu menghembuskan nafasnya kira-kira 9.43 malam semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian, di sini Jumaat.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, susulan itu pihaknya telah menahan pemilik rumah tersebut dan tiga lagi penduduk kampung bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an ditahan reman tujuh hari bermula kelmarin sehingga Jumaat depan.
“Siasatan mendapati, polis menerima laporan berhubung sebuah rumah di kampung tersebut diceroboh oleh seorang lelaki kira-kira pukul 3 pagi pada Ahad lalu.
“Mangsa merupakan pemilik rumah tersebut melihat suspek sedang mengumpil tingkap rumahnya dari bahagian luar. Mangsa kemudiannya menghampiri suspek, namun penceroboh itu melarikan diri.
“Suspek berjaya ditangkap oleh pemilik rumah itu dengan bantuan penduduk kampung. Semasa tangkapan dijalankan, suspek bertindak agresif dengan menggunakan sebilah pisau sebelum berlaku pergelutan antara mereka,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Mohd. Rosdi memberitahu, keadaan itu menyebabkan suspek cedera pada bahagian muka dan kepala sebelum ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, lelaki itu kemudiannya dihantar ke HUSM untuk rawatan lanjut.
“Semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkait kesalahan jenayah dan dadah.
“Kes tersebut pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata bahaya 1958 kerana memiliki pisau di tempat awam,” ujarnya.
Mohd. Rosdi berkata, selepas empat hari bertarung nyawa, suspek disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di HUSM kira-kira pukul 9.43 malam Jumaat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.