Luton Town bersedia melakar kejutan apabila bertandang ke Stamford Bridge hari ini. – Ihsan Luton Town
LONDON: Pertembungan Chelsea menentang Luton Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) hari ini ibarat ‘dua darjat’ antara kelab kaya dan miskin.
Blues yang dimiliki hartawan Amerika Syarikat (AS), Todd Boehly membelanjakan 954.5 juta pound (RM5.6 bilion) pada jendela perpindahan pemain untuk menguatkan pasukan.
Pendatang baharu EPL, Luton pula kelab yang mempunyai nilai paling rendah dalam liga musim ini.
Dibimbing Rob Edwards, pembelian terbesar The Hatters adalah 5 juta pound (RM29.5 juta) ketika mengikat pemain sayap Wolverhampton, Ryan Giles.
Chelsea berbelanja 23 kali ganda daripada Luton, dan untuk membeli Moises Caicedo sahaja mereka membayar 115 juta pound (RM678.8 juta) kepada Brighton.
Bagaimanapun selepas seri 1-1 dengan Liverpool dalam aksi pembukaan, dan kalah 1-3 kepada 10 pemain West Ham, Ahad lalu, Blues menunjukkan masih punya kepincangan yang boleh dihukum Luton.
Kerry Dixon, yang pernah menjadi penyerang Chelsea dan Luton memberi amaran kepada Blues agar tidak memandang mudah cabadang The Hatters.
“Tiada siapa boleh mengambil mudah Luton tetapi pada masa sama Chelsea perlu menang perlawanan ini.
“Saya harap Chelsea menang tetapi saya fikir ia perlawanan yang sengit kerana beraksi dalam EPL sesuatu yang hebat buat Luton,” katanya.
Luton bagaimanapun memulakan kempen Liga Perdana dengan langkah kiri selepas kalah 1-4 kepada Brighton.