Jonnybone (duduk, kelima kiri) dalam gambar kumpulan bersama Rosalind Chew (empat dari kiri) dan lain-lain.
TUARAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, generasi muda negeri sebagai pemimpin masa depan perlu melengkapkan diri dengan kesanggupan untuk belajar dan menjadi kreatif, serta mempunyai kebolehsuaian dan sifat ingin tahu dengan situasi sekeliling.
Beliau berkata, selain itu, mereka harus mempunyai pengetahuan tentang nasionalisme/patriotisme dan perlu memahami bagaimana ia berfungsi, mengapa ia penting, dan bagaimana mereka boleh menggunakannya untuk mencipta perubahan positif.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata demikian pada majlis amal Merdeka for Mereka (M4M) untuk golongan buta di sini hari ini. Ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Politiknya Jonnybone J Kurum.

Jonnybone (duduk, tengah) bersama wakil semua organisasi dan penaja program.
Dr. Joachim berkata, beliau amat berbangga melihat sekumpulan pemimpin muda Junior Chamber International (JCI) berkumpul bersama bukan sahaja untuk mengumpul dan menderma dana, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan kebaikan yang memberi impak luar biasa kepada golongan buta.
“Melalui inisiatif ini, JCI telah mendekati ratusan orang dan telah memberi inspirasi kepada ramai orang lain untuk menyertai perjuangan mereka. Melalui inisiatif ini, mereka telah menunjukkan kepada kita bahawa menjadi buta bukanlah satu batasan, tetapi cabaran yang boleh diatasi dengan keberanian, keazaman dan kebaikan,” katanya.

Jonnybone (tengah) menyaksikan Lim menyampaikan cek replika sumbangan kepada Rosalind Chew.
“Saya bangga melihat sekumpulan pemimpin muda yang telah membawa kesedaran dan kebaikan kepada golongan buta.
“Mereka juga telah mengingatkan kita bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab untuk mengambil berat antara satu sama lain dan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang untuk semua orang,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Beliau memuji usaha yang dilakukan oleh JCI melalui inisiatif M4M dan memberi jaminan sokongannya kepada usaha masa depan mereka.





























