Phoong melawat dan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Nicolette Hannah George.
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe yang juga merupakan ADUN Luyang hari ini telah melawat dan memberikan penghormatan terakhir kepada wanita berusia 26 tahun iaitu mangsa kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Jalan Bypass Kapayan-Lintas, dekat Lido, di sini, Selasa lalu.
Beliau turut bertemu dengan keluarga mendiang Nicolette Hannah George dan mendoakan semoga segala urusan dipermudahkan buat keluarga mendiang
“Saya sedang mengikuti perkembangan siasatan pihak polis dengan rapat. Suspek (pemandu lori) telah direman sehingga 27 Ogos. Lesennya telah digantung dan lori itu dihantar ke PUSPAKOM untuk siasatan terperinci.
“Saya telah hubungi pihak berkuasa untuk memastikan tindakan lanjut diambil, termasuk langkah-langkah untuk mengelakkan kemalangan seperti ini berulang,” katanya dalam perkongsian di laman Facebooknya hari ini.
Kemalangan itu berlaku pada jam 6 petang 22 Ogos.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu, panggilan diterima mengenai kejadian itu menerusi talian MERS999 dan sepasukan 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd. Zulfadli Usman dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh enam kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan tujuh buah kenderaan iaitu jenis Perodua Bezza, Perodua Myvi, Toyota Vios, Proton Saga, Proton Iriz dan dua buah lori.
“Mangsa wanita berusia 26 tahun tersepit di kereta Perodua Bezza tetapi berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya.
Menurut Ordine, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi di tamatkan pada jam 7.56 malam,” katanya.
Kejadian tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya terutamanya di laluan daripada arah Kapayan dan Lido menuju ke Lintas.