Shahelmey Yahya
PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya menafikan khabar angin bahawa kerusi Parlimen itu akan dikosongkan.
Kerusi yang dimenangi di bawah payung Barisan Nasional (BN) itu masih kekal milik BN biarpun keahlian beliau dalam UMNO telah digantung selama enam tahun bermula Mac lalu.
“Itu semua khabar angin..jangan terlampau fokus itulah. Kita fokus kepada kerja sahaja,” katanya ketika diminta mengulas mengenai khabar angin yang menyatakan salah satu daripada tujuh kerusi Parlimen BN yang akan dikosongkan adalah kerusi Putatan.
Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu berkata, setakat ini tiada sebarang arahan dikeluarkan daripada pimpinan UMNO negeri.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata, kini beliau ingin memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah bekalan air dan jalan raya di Sabah.
Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut menafikan dakwaan yang menyatakan salah satu daripada tujuh kerusi Parlimen BN yang dikhabarkan akan dikosongkan adalah di Sabah.
“Itu sekadar khabar angin, tiada kepastian dalam soal sedemikian,” katanya.
Pada Isnin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan tujuh ahli Parlimen BN akan mengosongkan kerusi, termasuk satu di Sabah.
Ahmad Zahid turut mengingatkan Ahli Parlimen BN bahawa mandat dan watikah yang diberi sebagai ahli Parlimen adalah mewakili parti, bukannya untuk diri sendiri.
Pada Mac, Bung Moktar mengumumkan keputusan UMNO untuk menggantung keahlian Shahelmey selama enam tahun susulan tindakan Shahelmey bersama tiga ADUN UMNO lain membelakangkan keputusan parti dengan bertindak memberi sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor.
Semasa kemelut politik pada Januari lalu, Shahelmey bersama Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) bertindak menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.