Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri memberi tumpuan untuk meningkatkan usaha pendigitalan bagi memaksimumkan potensi ekonomi digital.
“Kita memanfaatkan teknologi dan inovasi untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan,” katanya pada Persidangan Ekonomi Cina Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Ketua Menteri berkata, tidak syak lagi, dengan kemunculan teknologi, perniagaan merentasi semua industri memanfaatkan teknologi termaju, termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Pengalaman digital membuat semua perbezaan, dan perniagaan yang tidak melabur untuk kekal relevan dan berdaya saing akan gagal. Di Malaysia, ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, dengan Kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan setengah juta pekerjaan dalam bidang digital menjelang 2025.
“Saya difahamkan persidangan ini bertujuan untuk meningkatkan daya saing ekonomi Sabah menggunakan teknologi baharu. Memulakan AI dan dron sebagai alat baharu pembangunan ekonomi kita patut mendapat sokongan,” katanya.
Hajiji berkata, pada Jun tahun ini, Kerajaan Sabah, melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), telah menganjurkan Seminar Dron di mana ramai melihat perlu untuk meneroka potensi dron tentang bagaimana mereka boleh merevolusikan ekonomi negeri.
“Untuk berdaya saing, kita perlu lebih kreatif dan proaktif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital dan penggunaan realiti maya, antara lain,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga akan menumpukan usaha memperkasakan modal insan supaya berkebolehan, inovatif, berdaya tahan dan berintegriti.
Beliau berkata, inisiatif untuk dilaksanakan termasuk penganjuran kursus Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan Revolusi Industri 4.0 dan pengembangan Internet Saling Berhubung (IoT).
“Kerjasama dengan industri mengenai latihan kemahiran perlu dipertingkatkan untuk meningkatkan kapasiti dan kebolehpasaran modal insan kita,” katanya.
Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) lima tahun Sabah, yang dilancarkan pada 2021, telah membuahkan hasil, katanya, sambil menambah ia adalah pelan hala tuju dan pelan tindakan strategik yang menetapkan hala tuju pembangunan negeri, menggariskan visi, strategi dan keutamaannya.
Hajiji berkata, terdapat banyak peluang pelabur domestik dan asing boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.
“Kita ada beberapa zon industri utama. Terdapat dua zon ekonomi bebas iaitu Perkhidmatan Logistik Bersepadu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Hab Transhipment di Sepanggar.
“Terdapat juga Terminal Minyak dan Gas Sabah di Papar dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang. Selain itu, terdapat Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu.
“Dua lagi taman perindustrian akan dibina di Kimanis dan satu lokasi antara Kota Belud dan Kota Marudu untuk memberi peluang pelaburan,” katanya.
Beliau berkata, peluang juga banyak terdapat dalam dua sektor teras lain iaitu pertanian dan pelancongan.
Sektor pelancongan menyaksikan prestasi memberangsangkan sejak akhir-akhir ini berikutan pembukaan sempadan selepas wabak, yang membawa impak positif, mencatatkan peningkatan 77.1 peratus dalam ketibaan dari Januari hingga Mei tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, katanya.
“Kami menjangkakan 2.2 juta pengunjung ke Sabah menjelang akhir tahun, yang dijangka menjana RM4 bilion dalam hasil pelancongan untuk negeri ini,” katanya.
Terletak di tengah-tengah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA), Sabah adalah sebuah kawasan yang mempunyai potensi tidak berkesudahan, kata Hajiji.
“Saya melihat Sabah sebagai hab serantau yang berpotensi untuk pembuatan, maritim dan pengangkutan untuk negara membangun dan negara maju,” katanya sambil menambah bahawa pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur memberi petanda baik untuk Sabah.
“Ini akan mengukuhkan kedudukan Sabah dan merangsang aktiviti ekonomi. Pelabur dalam dan luar negara akan mempunyai akses kepada subrantau ini dengan pasaran lebih 70 juta orang dan berkembang,” katanya.
Mengakui Sabah mempunyai pelbagai cabaran dan kekangan, beliau bagaiamanapun memberi jaminan bahawa ia bukan sesuatu yang tidak boleh diatasi.
“Kami berazam untuk terus maju bagi merealisasikan matlamat yang ditetapkan dalam agenda pembangunan kami,” katanya.